Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: MP Segambut gesa DBKL bantu kerja-kerja pembersihan
Diterbitkan:  Dec 19, 2021 7:21 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata permohonan telah dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memulakan kerja-kerja pembersihan bagi membersihkan serpihan barangan dan sampah sarap yang dihanyutkan banjir di kawasan itu.

Hannah berkata, ramai penduduk yang dipindahkan malam tadi pulang ke rumah masing-masing hari ini dan mendapati banyak berlaku kerosakan kepada harta benda mereka.

“Malah rumah teres, barangan termasuk peti sejuk dan peralatan lain turut musnah.

"Anggaran kerugian bagi setiap keluarga mencecah antara RM20,000 dan RM30,000," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kg Kolam Air dan Kg Kasipillay di Segambut, Kuala Lumpur.

Dia berkata permohonan kepada DBKL dibuat dengan jangkaan hujan yang berterusan akan menghanyutkan serpihan yang bertimbun.

Yeo berkata penduduk menggesa kerajaan mewajibkan majikan di sektor swasta meluluskan cuti bergaji untuk mereka membersihkan rumah.

“Saya juga menggesa kerajaan berbincang dengan persekutuan majikan untuk kelulusan cuti bergaji bagi membolehkan mereka yang berada di kawasan seperti ini mengambil cuti bergaji.

"Saya masuk ke rumah mereka dan saya dapat melihat dengan jelas tahap kerosakan yang berlaku. Ia akan ambil masa lebih daripada satu atau dua hari untuk membersihkannya," katanya.

Yeo berkata air sungai yang naik dengan deras di Kg Kasipillay malam tadi turut merosakkan sebuah jambatan dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terkesan akibat banjir selain menyeru majikan swasta supaya mengambil inisiatif sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS