Exco Pemuda dipanggil beri penjelasan
Seorang ahli Exco Pemuda Umno telah dihadapkan ke Jawatankuasa Pengurusan Umno baru-baru ini untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan ucapan keterlaluan sewaktu perhimpunan agung Umno.
Seorang ahli Exco Pemuda Umno telah dihadapkan ke Jawatankuasa Pengurusan Umno baru-baru ini untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan ucapan keterlaluan sewaktu perhimpunan agung Umno.
Ketika mengesahkannya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata: "Saya telah menyatakan dari dulu tidak pernah meletakkan Pemuda melebihi peraturan dan undang-undang negara."
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Pemuda Umno tidak akan berkompromi sekiranya ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada situasi itu demi kepentingan peribadi.
"Mereka yang hanya memilih kata-kata tertentu untuk mendapat kepentingan politik, meraih simpati dan sokongan, kita harap pihak berkuasa khususnya polis akan melihat bukti-bukti yang kita berikan untuk mengimbangi dan meletakkan hujah-hujah itu dalam perspektif yang sebenarnya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pergerakan itu semalam.
Selain itu, katanya, beliau juga telah mengarahkan setiausaha Pemuda, Datuk Rahman Dahalan membuat laporan polis dan menyerahkan bukti bagi memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku pada perhimpunan tersebut.
Berhubung isu wakil Pemuda Umno, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin yang mencabar Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin supaya meletak jawatan, Hishammuddin berkata ia dianggap selesai selepas Shamsul Najmi mengemukakan permohonan maaf kepada Zainuddin.
Ketika membahaskan usul agama dalam perhimpunan tersebut, Shamsul Najmid mencabar Zainuddin supaya berundur setelah dikatakan sengaja mengurangkan rancangan agama dari dua jam kepada hanya 30 minit melalui keputusan menggabungkan beberapa stesen radio menjadi Radio Klasik Nasional.

