Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) Jabatan Agama Islam selangor (Jais) untuk mengambil mayat A Rayappan untuk dikebumikan secara Islam.

Menurut peguam bagi keluraga si mata, A Sivanesan, keputusan Mahkamah Syriah itu diberitahu kepadanya oleh pegawai Jais petang ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan samaada Hospital Kuala Lumpur akan kebenarkan mayat itu diambil kerana Sivanesan telah merayu kepada pihak hospital jangan menyerahkannya kepada Jais sehingga kes ini didengar di mahkamah sivil.

ayappan, 71, meninggal dunia kerana kencing manis Rabu lalu. Beliau memeluk Islam ketika berkawin dengan seorang wanita beragama Islam pada 1990 tetapi mengumumkan meninggalkan Islam pada tahun 1996 dan berjaya menukar namanya di kad pengenalan kepada nama asalnya apabila kembali kepada isteri pertamanya, Lourds Mary yang beragama Katholik.

Dalam sidang akhbar di ibunegara, Sivanesan berkata beliau akan mendapatkan perintah mahkamah pada Isnin ini untuk menuntut mayat Rayappan.

"Keluarga si mati memutuskan mahu menuntut mayat Rayappan walau dengan apa cara sekalipun," kata Sivanesan.

Menurut peguam itu, alasan kuat yang dikemukakan oleh keluarga si mati ialah Rayappan telah hidup sebagai seorang Katholik sejak enam tahun lalu dan telah juga dibaptiskan.

Selain itu katanya, nama pada MyKad juga jelas menunjukkan bukti si mati bukan beragama Islam. Sivanesan menunjukkan kepada para wartawan MyKad yang tercatat agama si mati adalah Kristian.

"Sekarang terpulang kepada Jais untuk membuktikan Rayappan bukan seorang Kristian...MyKad dan dokumen Jabatan Pendaftaran Negara adalah bukti prima facie tentang status agama si mati," kata seorang lagi peguam, M Manoharan yang turut hadir di sidang media itu.