Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PNB umum dividen ASB 5.00 sen seunit
Diterbitkan:  Dec 23, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: 4:24 AM

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pembayaran agihan pendapatan sebanyak lima sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 202.

Syarikat pengurusan unit amanah saham milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata, pembayaran itu merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit, serta pembayaran bonus sebanyak 0.75 sen.

Pengerusi Kumpulan Arifin Zakaria, berkata agihan pendapatan itu berjumlah RM8.9 bilion itu akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.

Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB adalah sebanyak RM168.5 bilion sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990.

"Prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah lain, dan usaha berterusan dalam mempelbagaikan dan mengukuhkan portfolio telah membuahkan hasil yang positif.

“Prestasi pelaburan ekuiti global kami yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar.

"Ini menunjukkan kepentingan portfolio terpelbagai dengan baik dalam mengurus risiko portfolio dan menyampaikan pulangan yang mampan,” katanya ketika mengumumkan dividen ASB secara maya, hari ini.

Tahun lalu, ASNB mengumumkan pembayaran 4.25 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, yang merupakan pembayaran agihan pendapatan terendah dalam sejarah penubuhannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS