Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Nadma boleh bubar, saya boleh letak jawatan, tapi apa penyelesaiannya?’
Diterbitkan:  Dec 23, 2021 5:50 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Abd Latiff Ahmad berkata dia tiada masalah untuk meletakkan jawatan susulan dakwaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) gagal menguruskan hal ehwal banjir.

Bagaimanapun, soal Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), adakah perkara itu akan menyelesaikan masalah.

Bubar (Nadma) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (jadi wakil rakyat). Tiada masalah.

“Tapi apakah solusinya?” soalnya dalam wawancara dengan Sinar Harian.

Keadaan selepas banjir di Bentong, gambar hiasan

Dia justeru meminta pengkritik mengemukakan cadangan untuk menguruskan banjir dengan lebih berkesan di negara ini,

“Kalau kata hendak suruh letak jawatan (semata-mata), negara kita akan bertukar perdana menteri setiap tiga bulan,” dia dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Abd Latiff berkata, kenyataannya yang sekarang tular mengenai Nadma sebenarnya dibuat di Dewan Rakyat pada 15 Nov lalu dan diambil di luar konteks.

"Ketika itu banyak soalan yang dibangkitkan mengenai Nadma lambat memproses bantuan. Ingin saya jelaskan bahawa Nadma tidak memproses perkara tersebut," katanya.

Menjelaskan isu itu lagi, ahli parlimen Mersing berkenaan berkata pegawai daerah yang seharusnya berfungsi sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana bagi peringkat daerah bila bencana diisytiharkan.

"Segala pengurusan berkaitan bencana di kawasan terbabit akan diurus oleh pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah.

"Nadma akan membantu sebagai urus setia kerana agensi ini hanya ada di peringkat persekutuan dan kita tiada kakitangan di peringkat negeri atau daerah. Nadma hanya ada seramai 50 kakitangan bertugas di peringkat pusat.

"Jadi, segala urusan pengurusan bencana akan diuruskan di peringkat negeri, pengerusinya adalah setiausaha kerajaan negeri (SUK), manakala di peringkat daerah adalah tanggungjawab pegawai daerah," katanya.

Dia juga berkata pengurusan bencana harus dikongsi oleh tiga peringkat kerajaan iaitu pusat, negeri dan daerah atau pihak berkuasa tempatan.

"Kita tidak boleh suruh kerajaan pusat saja mengurus sebab bencana ini buta warna. Kalau nak serah semua sekali kepada pusat tak bolehlah kerana bagi saya apabila berlaku bencana ia perlu dikongsi dari segi pengurusannya.

"Kita ambil contoh, jika pengurusan ini diambil alih oleh pusat, cuba bayangkan bagaimana hendak menguruskan dari segi bantuan kepada mangsa.

"Jadi sebab itu kita kena kembali kepada tiga peringkat iaitu daerah, negeri dan seterusnya pusat," katanya.

Lihat Komen
ADS