Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Konvoi PM diberi keutamaan hasil penilaian risiko trafik, kata polis
Diterbitkan:  Dec 27, 2021 11:05 AM
Dikemaskini: 12:58 PM

Polis Selangor menjelaskan anggota yang bertugas membuat penilaian awal sebelum mengarahkan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kenderaan pacuan empat roda (4x4) milik Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia berhenti bagi memberi laluan kepada rombongan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shari'at, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi semalam di persimpangan jalan di Hulu Langat.

Katanya selepas membuat penilaian berkenaan barulah anggota polis yang bertugas mengarahkan ambulans KKM terbabit serta sebuah kenderaan 4x4 itu berhenti.

Berdasarkan penilaian, kata Azman, jika kenderaan terbabit tidak diarah berhenti dan diberi keutamaan, ia akan mewujudkan risiko kemalangan dan membahayakan pengguna lain di jalan raya berkenaan.

"Ini memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan.

"Tindakan mengatasi trafik tersebut telah diambil oleh anggota trafik berkenaan selaras dengan peruntukan mengikut Kaedah Lalu Lintas No 9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam tular satu klip video menunjukkan anggota polis mengawal trafik di sebuah persimpangan bagi memberi laluan kepada sejumlah kenderaan yang berkonvoi, termasuk membawa Ismail Sabri.

Ambulans diberi keutamaan segera

Perdana Menteri itu hadir di Hulu Langat untuk melihat sendiri kerja-kerja pembersihan dan membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding yang ada di Masjid al-Mustaqim di Batu 16 Hulu Langat.

Konvoi itu diiringi anggota polis trafik.

Ia menarik perhatian ramai - dan menyebabkan kemarahan juga - apabila antara kenderaan yang diberhentikan untuk memberi laluan kepada konvon Ismail Sabri ialah sebuah ambulans dan kenderaan 4x4 membawa bantuan.

Kebanyakan netizen menganggap dalam keadaan begitu sepatutnya ambulans diberi keutamaan berbanding rombongan orang kenamaan.

Azman berkata polis sentiasa memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan khususnya ambulans dan kereta bomba.

Namun katanya dalam keadaan yang ditunjukkan melalui klip video semalam, jika anggota trafik di persimpangan itu memberi keutamaan kepada ambulans dan kenderaan 4x4 terbabit keluar dari persimpangan ke jalan utama, ia akan mewujudkan risiko.

"Oleh yang demikian konvoi di jalan utama diberi keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan, selain mengambil kira penilaian awal yang dilaksanakan anggota trafik berkenaan," katanya.

Tambah Azman sebaik saja konvoi terbabit melepasi persimpangan tersebut anggota trafik yang bertugas mengambil langkah segera dengan memberi keutamaan laluan kepada ambulans serta kenderaan 4x4 berkenaan.

"Polis sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulans dan bomba," katanya.

Lihat Komen
ADS