mk-logo
Berita
Selangor tarik balik tauliah mengajar agama untuk aktivis politik
Diterbitkan:  Dec 28, 2021 11:09 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Mulai 1 Jan ini semua tauliah mengajar yang sebelum ini diberikan aktivis politik di Selangor terbatal dan akan ditarik balik, kata Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Serentak dengan itu juga, kata Mais, tauliah untuk mengajar agama kepada individu yang terlibat aktif dalam politik juga tidak akan dikeluarkan lagi.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof berkata langkah itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan Islam dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak khususnya di masjid dan surau.

"Bagi menjaga kesucian Islam di Selangor, Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama.

"Sultan Selangor turut menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di negeri ini yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Aziz selaras dengan titah Sultan Selangor tersebut, Jawatankuasa Tauliah Mais akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan.

Katanya mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Dis 2021.

Pada 26 Ogos lalu Menteri Besar Amirudin Shari berkata ahli Dewan Diraja Selangor bersetuju untuk tidak lagi memberikan tauliah mengajar agama Islam kepada aktivis politik di semua masjid dan surau di negeri itu.

Katanya keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada Mac 2019.

"Pada April lalu, Mais menerusi mesyuarat jawatankuasa tauliah juga memutuskan bagi ahli politik yang masih mempunyai tauliah, ia akan terus berkuat kuasa dan dikekalkan sehingga tamat tempoh sah dengan syarat individu berkenaan tidak menyampaikan ceramah yang menyentuh isu kepartian, mengaitkan individu tertentu dan menyebarkan fitnah.

"Ahli politik berkenaan juga perlu menjaga akhlak dan terus memelihara kemuliaan masjid serta surau sebagai pusat ilmu dan dakwah setempat," katanya pada sidang Selangor.

Abdul Aziz berkata exco agama Islam Selangor masih boleh menyampaikan pengajaran dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

"Pengecualian ini juga selaras dengan titah Sultan Selangor tersebut," katanya.

Tambah Abdul Aziz seseorang yang mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Jika disabit bersalah, katanya, seseorang itu boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai ketua agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995) yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua hukuman berkenaan," katanya.

Lihat Komen
ADS