Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu projek Canal City muncul lagi lepas banjir di Selangor
Diterbitkan:  Dec 28, 2021 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Selepas 10 tahun berkubur, projek Canal City di dirancang di Selangor 'bangkit semula' sejurus selepas banjir besar melanda beberapa bahagian di negeri itu pada 18 Dis lalu.

Bekas perdana menteri Najib Razak pada 24 Dis berkata projek itu perlu dikaji semula untuk melihat keberkesanannya jika ia boleh isu mengurangkan banjir pada masa hadapan.

Canal City - yang bermula pada 2007 ketika Selangor yang dikuasai BN - melibatkan projek tebatan banjir dalam bentuk terusan sepanjang 18km yang menghubungkan Sungai Klang dan Sungai Langat.

Menurut laporan Berita Harian ketika itu, terusan berkenaan akan mengalihkan 30 peratus air dari Sungai Klang pada waktu puncak.

Najib berkata projek itu dirancang untuk merangkumi beberapa kawasan tadahan air besar yang boleh digunakan sebagai sumber untuk penduduk Selangor.

Rancangan membina Canal City berdepan halangan apabila Pakatan Rakyat menawan Selangor pada 2008 selepas kerajaan negeri ketika itu berpendapat Selangor memerlukan projek tebatan banjir yang lebih komprehensif.

Tak selesaikan masalah

Projek terusan itu kemudian dibatalkan pada 2011. Menteri besar ketika itu, Khalid Ibrahim, berkata ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Bekas setiausaha politik Khalid, Faekah Husin, memperincikan isu itu dalam hantaran panjang lebar di Facebook semalam.

Katanya kajian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor ketika itu mendapati projek dipetik Najib itu tidak akan mengurangkan masalah banjir.

Katanya Khalid telah membentangkan rancangan 50 tahun Selangor untuk mengurangkan banjir, termasuk membina projek Pembesaran Sungai Hibrid (Horas) bagi.

Bagaimanapun, kata Faekah dia tidak pasti sama ada rancangan berkenaan masih dilaksanakan kerajaan negeri selepas Khalid dipecat daripada jawatan sebagai menteri besar pada 2014.

Sungai Langat mengalir dari Hulu Langat ke Kuala Langat. Kedua-dua kawasan berkenaan terjejas teruk akibat banjir minggu lalu. Turut terkesan teruk ialah Shah Alam dan Klang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberitahu sidang akhbar semalam, di Hulu Langat kejadian banjir itu berpunca daripada lonjakan air dari pergunungan sekitarnya.

Amirudin juga berkata dia belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) menyumbang kepada banjir di Hulu Langat.

Amirudin juga menolak potensi projek Canal City dapat menyelesaikan masalah banjir.

“Adakah Canal City jawapannya? Kita mesti melihat jumlah air yang boleh diambil.

"Jika ia tidak dapat menahan sehingga 300 hingga 400mm (hujan), kita boleh memanggilnya Canal City atau Tower City, ia tidak akan menyelesaikan isu itu," katanya dipetik Malay Mail.

Sebaliknya Amirudin berkata, isu yang perlu ditangani sekarang ialah bagaimana memastikan tadahan air dapat menampung hujan melebihi 100mm.

Lihat Komen
ADS