K’jaan belum bercadang sekat umrah tetapi pantau keadaan - KJ
Kerajaan belum bercadang menyekat rakyat mengerjakan umrah, walaupun terdapat peningkatan kes Omicron Covid-19 dalam kalangan jemaah yang pulang daripada melaksanakan ibadah itu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengarahkan jemaah supaya menjalani kuarantin di pusat kuarantin sekembalinya mereka dari Arab Saudi.
“Kita tidak mahu buat keputusan terburu-buru untuk sekat orang ramai (umat Islam) untuk mengerjakan umrah.
"Buat masa ni walaupun ada peningkatan kes varian Omicron yang mendadak dari Arab Saudi tapi kita (KKM) minta patuh kepada HSO (perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah) serta elak daripada bergaul dengan ahli keluarga dengan mengasingkan diri di dalam bilik dan menggunakan tandas berasingan.
"Sekarang ini kita juga sudah minta (jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah) dipakaikan peranti digital," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sehingga kini menurut KKM terdapat 30 kes membabitkan varian Omicron yang dikesan sebagai kes import dari Arab Saudi daripada 62 kes yang dilaporkan sejak Sabtu lalu.
Buat masa ini, jemaah umrah yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari di kediaman masing-masing dan bukannya di pusat kuarantin ditetapkan. Mereka juga perlu menjalani ujian Covid-19 secara berkala.
Khairy juga berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan tidak membenarkan rakyat mengerjakan umrah, jika keadaan di Arab Saudi merosot ataupun penularan Omicron di kalangan mereka pulang berada pada tahap membimbangkan.
“Sekiranya penularan varian Omicron dari Arab Saudi ini pada tahap membimbangkan, maka kita akan pertingkatkan usaha dengan mengarahkan mereka kuarantin di pusat kuarantin atau sekat perjalanan ke Arab Saudi tetapi perlu pantau dahulu dan buat secara berperingkat,” katanya.
Selain itu, katanya, individu yang mahu mengerjakan umrah disyaratkan supaya mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid19, sebelum mereka dibenarkan melakukan perjalanan ke Arab Saudi, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut menteri itu, KKM juga telah mengarahkan syarikat pelancongan yang menguruskan umrah untuk mewajibkan setiap individu yang ingin menunaikan ibadah tersebut untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.
“Suntikan dos penggalak amat penting khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi seperti mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas serta mempunyai sejarah komorbid.
“Langkah berhati-hati ini perlu dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan varian Omicron adalah tinggi,” katanya menambah langkah itu juga terpakai bagi individu yang merancang melakukan perjalanan ke negara-negara lain.
Mengenai kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, dia berkata ia disebabkan kekurangan kaunter pemakaian peranti digital sehingga menyebabkan kesesakan dalam kalangan individu yang baru pulang daripada Makkah.
Katanya, pihaknya juga telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menambah kaunter terbabit selain penambahan jumlah petugas bagi memastikan proses pemakaian peranti digital berjalan lancar.
“Tadi saya telah meninjau kaunter tersebut dan saya difahamkan bahawa MAHB akan tambah kaunter pada Khamis ini,” katanya.

