Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada lagi pengeluaran KWSP untuk tujuan selain persaraan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan sentiasa melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan dan dengan itu, tidak mengalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.

“KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka,” tambahnya.

Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan bagi persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” tegas kumpulan wang persaraan itu.

KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia serta mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP

Oleh yang demikian, KWSP, yang merupakan sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) telah menawarkan sokongan melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana bantuan tersebut datang daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Sokongan itu akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal yang berkredibiliti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS