Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli minta kerajaan segera bina jambatan konkrit
Diterbitkan:  Dec 29, 2021 12:09 AM
Dikemaskini: 4:10 PM

Masyarakat Orang Asli Pos Simpor di Gua Musang, Kelantan menggesa kerajaan membina jambatan konkrit di Sungai Perias berhampiran, selepas jambatan sedia ada dihanyutkan banjir baru-baru ini.

“Saya berharap Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan kerajaan akan bertindak membina jambatan konkrit bertetulang di Sungai Perias, yang merupakan jalan utama Pos Simpor dan Pos Gob,” kata Mohd Syafiq Dendi Abdullah, yang mewakili tiga buah kampung di Pos Simpor.

Penduduk kampung kini terpaksa menggunakan rakit sementara untuk menyeberangi sungai.

Sekiranya jambatan itu tidak dibina secepat mungkin, Syafiq berkata mereka akan menghadapi kesukaran untuk berulang alik ke klinik berhampiran di Kuala Betis serta ketika kecemasan.

Mereka juga bimbang anak-anak mereka tidak dapat kembali ke sekolah pada tahun hadapan selain khuatir terhadap keselamatan penduduk kampung.

Sementara itu Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan membina jambatan sementara jenis bailey untuk kegunaan penduduk kampung sekitar Sungai Perias.

Timbalan Menterinya Abdul Rahman Mohamad, berkata pihak tentera telah pun bersetuju membantu membina jambatan keluli itu secepat mungkin memandangkan penduduk kampung telah terputus hubungan selama seminggu.

"Kita berharap pembinaan jambatan bailey dapat disegerakan supaya 1,717 ketua isi rumah (KIR) di sembilan penempatan itu tidak terus terputus hubungan.

"Mereka kini berdepan kesukaran untuk keluar ke bandar bagi melakukan urusan harian termasuk menghantar anak-anak ke sekolah,” kata Abdul Rahman.

Lihat Komen
ADS