Kumpulan Utusan dan New Straits Times Press (NSTP) hari ini mengesahkan secara rasmi bahawa mereka sedang berunding untuk meningkatkan nilai masing-masing melalui cadangan penggabungan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan kedua-dua syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia hari ini, kedua-dua pihak masih belum mencapai sebarang persetujuan muktamad berhubung cadangan penggabungan tersebut.

Ekoran itu, kedua-dua syarikat berkenaan mengumumkan, urusniaga saham masing-masing yang digantung Jumaat lalu, akan disambung semula esok.

Menurut pengumuman secara berasingan itu, Utusan dan NSTP berkata sebelum ini, pihaknya mengambil keputusan menggantung urusniaga sahamnya ekoran spekulasi hebat mengenai cadangan penggabungan itu.

Mereka berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan kedua-dua belah pihak memulakan rundingan berhubung terma-terma kerjasama tersebut.

"Bagaimanapun, pada peringkat ini, kedua-dua pihak masih belum mencapai sebarang perjanjian muktamad berhubung cadangan penggabungan seumpama itu," kata kenyataan tersebut.

Pengumuman penting

Menurutnya lagi, Utusan dan NSTP berhasrat untuk meneruskan lagi usaha meneroka dan berbincang lebih lanjut lagi dan menandatangani perjanjian sulit dalam tempoh perbincangan tersebut.

"Satu pengumuman segera akan dibuat kepada Bursa (Malaysia) sekiranya perjanjian muktamad dicapai," katanya.

Minggu lalu, Utusan dan NSTP mengumumkan satu sidang akhbar akan diadakan pada petang ini bertempat di sebuah hotel di Damansara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mereka mengumumkan pembatalan majlis tersebut pagi ini tanpa memberikan sebab-sebabnya.

Bagaimanapun seorang pegawai kanan Media Prima yang dihubungi malaysiakini berkata, pihaknya diarahkan oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat untuk membatalkan sidang media itu.

Pembatalan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) Jumaat lalu.

Difahamkan, dalam mesyuarat tersebut, sebahagian besar ahli MT tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan yang dikhuatiri akan melenyapkan identiti dan peranan akhbar Utusan Malaysia sebagai wadah dan lidah rasmi orang Melayu dan Umno.