Isu integriti SPRM ditangani macam urus banjir, kata Puad
Isu integriti membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) umpama isu banjir apabila masing-masing saling menuding jari kata seorang anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Menurut Mohd Puad Zarkashi rakyat ketika ini hanya mahukan penyelesaian bukan pelbagai alasan untuk melindungi pihak tertentu.
"Sebelumnya Borhan Dolah kata, dia tidak menerima surat daripada Edmund Terence Gomez yang menyebut salah laku Azam Baki (ketua pesuruhjaya SPRM).
"Apabila Gomez jawab, Borhan kata, tugas Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM hanya fokus program kesedaran antirasuah.
"Tambah Borhan, isu salah laku penjawat awam seperti isu Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah tanggungjawab Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (PPA)," katanya.
Borhan yang dipetik Mohd Puad ialah pengerusi panel perundingan dan pencegahan rasuah SPRM, manakala Gomez adalah salah seorang anggotanya yang meletakkan jawatan pada 28 Dis lalu.
"Ini sudah jadi macam isu banjir - menuding jari antara Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan Majlis Keselamatan negara (MKN).
"Rakyat dibiar bergelut dengan musibah banjir. Kini rakyat pening kepala dengan isu kredibiliti SPRM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Borhan mengingatkan Gomez supaya tidak memperalatkan panel itu untuk sebarang agenda politik berhubung dakwaan salah laku membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM
Borhan yang juga pengerusi panel itu menegaskan bahawa mereka kekal profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
"Beliau sepatutnya tahu bahawa panel ini bukan bertanggungjawab terhadap salah laku penjawat awam seperti ketua pengarah SPRM.
"Ia adalah tanggungjawab Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk ambil tindakan jika aduan lengkap dikemukakan kepada beliau," katanya.
Menurut Mohd Puad dia risau dengan pelbagai alasan yang diberikan akan mengakibatkan isu berkenaan ditutup begitu saja.
"Isu pokok ialah apa penyelesaiannya. Rakyat mahu tindakan segera, bukan 'cover up'. Bukan menuding jari dengan berbagai alasan. Bukan menegak benang basah.
"Akhirnya isu ini akan padam tanpa siasatan. Apakah ini budaya pentadbiran di negara kita? Semua badan pemantau jadi kosmetik dan makan elaun buta. PM mesti responsif segera," katanya lagi.

