Akar umbi Umno bantah cadangan penggabungan
Akar umbi Umno hari ini menyuarakan bantahan terhadap cadangan penggabungan Kumpulan Utusan dengan New Straits Times Press (NSTP) dan mahu pucuk pimpinan parti serta kerajaan mengambilkira suara ahli-ahli parti sebelum membenarkan cadangan tersebut.
Akar umbi Umno hari ini menyuarakan bantahan terhadap cadangan penggabungan Kumpulan Utusan dengan New Straits Times Press (NSTP) dan mahu pucuk pimpinan parti serta kerajaan mengambilkira suara ahli-ahli parti sebelum membenarkan cadangan tersebut.
Menurut mereka satu perbincangan terbuka atau majlis taklimat khas perlu dibuat kepada pucuk pimpinan Umno di negeri dan bahagian supaya segala kekaburan atau kekeliruan tentang cadangan itu dapat difahami oleh ahli di peringkat bawah.
Bagaimanapun mereka tidak menolak jika Kumpulan Utusan mengambil alih NSTP sebagai langkah mengukuhkan lagi perjuangan agenda Melayu.
Mereka juga melahirkan kekesalan terhadap sikap para pemimpin tertinggi Umno terutamanya pergerakan Pemudanya yang membisukan diri berhubung isu ini.
Pemangku Ketua Pemuda Umno bahagian Ipoh Barat, Faizal Azumu berkata, cadangan ini walaupun merupakan satu langkah korporat namun perlu dijelaskan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan ahli Umno.
"Kedua-dua kumpulan akhbar, Utusan dan NSTP adalah akhbar tertua negara ini dan mempunyai kaintan rapat dengan perjuanagn orang Melayu. Oleh itu orang Melayu perlu tahu apa sebanarnya yang berlaku.
"Sebenarnya sebahagian besar anggota Pemuda Umno tidak bersetuju dengan cadangan ini, oleh itu satu taklimat khas atau majlis penerangan perlu diadakan oleh pucuk pimpinan Umno," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Menurutnya, sebelum ini kalau ada isu-isu besar membabitkan kepentingan orang Melayu dan Umno, taklimat seperti diadakan bagi mendapatkan reaksi dari akar umbi.
"Mengapa amalan lama itu tidak diteruskan? Kita tak perlu adakan EGM (mesyuarat agung luar biasa) , memadai dengan taklimat khas. Pucuk pimpinan perlu bersikap terbuka,"tambahnya.
Pandangan akar umbi
Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad juga sependapat dengan Faizal. Menurutnya pucuk pimpinan parti perlu mendapatkan pandangan akar umbi kerana ini adalah satu keputusan besar bagi orang Melayu.
Azli berkata, walaupun kerja memberi taklimat dan mendapatkan pandangan akar umbi memakan masa namun ia perlu dibuat bagi mengelakkan sebarang implikasi buruk dari penggabungan yang dibuat secara tergesa-gesa itu.
" Kita tak mahu lihat akhbar di Malaysia duduk di bawah satu bumbung, melaporkan perkara yang sama dan tiada persaingan. Akhirnya pembaca yang akan rugi, menatapkan sajian berita yang membosankan.
"Kalau penggabungan tak dapat dielakkan, pucuk pimpinan parti dan negara kena pastikan bahagian editorialnya kekal bebas dan bersaing satu sama lain seperti sekarang,"tambahnya.
Pengerusi Seketariat Melayu Malaysia, Wan Azrain Adnan pula melahirkan rasa terkilannya kepada pergerakan Pemuda Umno kerana mendiamkan diri berhubung isu ini.
" Di mana suara Pemuda Umno dalam isu ini? Tiada siapa pun bersuara mempertahankan harta Umno yang sangat berharga ini,"tanya beliau yang juga ahli Pemuda Umno bahagian Kemaman, Terengganu.
Beliau menambah;"Sebagai ahli Umno, saya menolak pengabungan ini. Tetapi saya akan menyokong penuh pengambilalihan NSTP oleh Kumpulan Utusan. Kita beli sahaja NSTP dan Media Prima. Sudah tiba masanya, pegangan Umno di dalam NSTP dibuat secara terus, bukan lagi secara proksi. Dengan pengambilalihan ini, Umno akan menjadi pemegang saham secara terus di dalam kumpulan media terbesar di dalam negara ini.
Menurutnya, identiti serta editorial Kumpulan Utusan dan NSTP perlu dikekalkan bebas bagi meneruskan dana memperhebatkan agenda Melayau.
" Bangunlah saudara Pemuda. Tuan-tuan berjawatan dan berpengaruh. Pertahankan khazanah warisan kita ini. Kekalkan Kumpulan Utusan di dalam tangan Umno. Kita ambil alih NSTP! Kita Beli Media Prima! Kita tolak pengabungan ini," tegasnya dalam satu kenyataannya yang disiarkan dalam laman web KMU.Net

