Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Boo dakwa Liew perguna MOU lobi untuk jadi senator lagi
Diterbitkan:  Dec 30, 2021 6:00 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong didakwa melobi supaya Dewan Undangan Negeri Johor melantiknya sebagai senator Dewan Negara.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau yang membuat dakwaan tersebut menuduh Liew melakukan hal itu tanpa pengetahuan pimpinan DAP Johor.

Boo mendakwa muslihat Liew bermula pada awal Ogos apabila Liew dikatakan telah "mengelirukan" majlis Pakatan Harapan Johor.

“Selepas mendapat kenyataan daripada pelbagai pemimpin parti komponen yang bersidang dalam majlis PH Johor, saya dimaklumkan bahawa Liew, pada awal Ogos lalu, telah mengelirukan majlis itu kerana percaya dia mampu mendapat sokongan yang cukup daripada BN Johor, Perikatan Nasional dan parti lain untuk melantik dirinya sebagai senator di bawah kuota Johor.

“Saya juga dimaklumkan bahawa satu resolusi akan dicadangkan kepada persidangan DUN berikut bersandarkan dakwaan Liew bahawa dia dapat meraih sokongan daripada BN Johor dan PN untuk melantiknya sebagai senator.

“Namun, resolusi itu ditarik balik selepas Liew gagal membuktikan dia boleh memastikan resolusi tersebut diluluskan oleh DUN, manakala sebahagian besar Adub Pakatan Harapan tidak menyedari kewujudan resolusi yang dicadangkan itu,” dakwa Boo (gambar, bawah) pada satu kenyataan hari ini.

Ketika dihubungi, Liew berkata dia enggan mengulas buat masa ini. Selepas pilihan raya umum 2018, Liew dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan. Memandangkan dia bukan ahli parlimen, Liew dilantik sebagai senator terlebih dahulu. Penggal itu tamat pada pertengahan tahun ini.

Setiap DUN boleh melantik dua orang ahli Dewan Negara. Terdapat satu kekosongan untuk Johor sekarang.

Kini terdapat 54 ahli Dewan Negara, empat daripadanya wakil pembangkang. Keempat-empat anggota pembangkang ini semuanya daripada PH, yang memeterai MOU perjanjian keyakinan dan bekalan (CSA) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Mengenai dakwaannya iu, Boo berkata dia telah menulis kepada majlis pimpinan PH menuntut siasatan sama ada CSA itu termasuk pelantikan GLC dan senator ataupun tidak.

"(Kepimpinan PH) perlu menyiasat sekiranya rerdapat sebarang perjanjian sulit antara Liew dan kerajaan Muhyiddin Yassin berhubung pelantikannya sendiri sebagai senator," kata Boo.

Secara berasingan, Boo turut menuduh Liew menganjurkan beberapa siri pertemuan dalam talian antara ahli parlimen dari negeri lain dengan akar umbi DAP Johor.

“Dalam salah satu mesyuarat itu, ahli parlimen DAP dari Johor, seorang ahli parlimen dari negeri lain dan beberapa bekas menteri kabinet dan timbalan menteri dengan lantang menyerang (Presiden PH) Anwar Ibrahim.

"Ia telah mengelirukan dan juga menggugat perpaduan di kalangan ahli akar umbi Johor dengan berulang kali menentang resolusi Majlis Presiden Pakatan Harapan bahawa Anwar merupakan satu-satunya calon PH untuk menjadi perdana menteri," kata Boo.

Jelas Boo lagi, siri pertemuan dalam talian itu mendorongnya menjalankan siasatan lanjut dan menemukan rancangan yang didakwa untuk mencalonkan Liew untuk jawatan senator itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS