mk-logo
Berita
Musibah banjir: PH tuntut sidang khas parlimen, tubuh RCI
Diterbitkan:  Dec 31, 2021 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen khusus untuk membahaskan isu banjir yang telah meragut banyak nyawa baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama dibuat itu Majlis Presiden PH berpendirian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kabinetnya mesti memberi penjelasan penuh isu berkenaan yang menjejaskan ramai orang.

Kata mereka ruang yang terbaik untuk berbuat demikian ialah melalui sidang khas parlimen.

"Pada masa yang sama, kami turut berpandangan kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja selaras dengan titah baginda bahawa satu pascanilai (postmortem) banjir besar perlu dilakukan, termasuk juga untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh pemimpin parti gabungan PH iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim; Presiden Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan En, dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau.

Mengulas lanjut, Majlis PH berkata sidang khas parlimen serta penubuhan RCI itu memang diperlukan bagi mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi.

"Ini termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan," katanya.

Selasa lalu, Yeoh mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 yang telah memberi amaran bahawa enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur antara Okt 2015 dan Sept 2020.

Enam kolam takungan berkenaan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Mengikut rancangan awal, kolam Batu, kolam Nanyang dan kolam Delima adalah sebahagian daripada projek kolam tebatan banjir Sungai Jinjang yang boleh menakung sehingga 2.5 juta meter padu air banjir.

Enam kolam takungan itu sebaliknya diasingkan untuk projek pembangunan, seperti projek pembangunan bercampur, skim perumahan mampu milik, taman rekreasi dan pangsapuri perkhidmatan.

Lihat Komen
ADS