Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan akan panggil Massimo jelaskan kenaikan harga
Diterbitkan:  Jan 3, 2022 4:35 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Kerajaan bercadang untuk memanggil pengeluar roti jenama Massimo untuk menjelaskan alasan menaikkan harga produknya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata dia mahu penjelasan daripada pembuat roti itu dan alternatif yang boleh ditawarkannya.

Massimo dan Gardenia, dua pembuat roti terkemuka di pasaran, baru-baru ini telah menaikkan harga produk mereka.

"Kita akan panggil pengeluar roti jenama Massimo, kementerian nak tahu apa alasan kenaikan itu dan apa alternatifnya untuk rakyat.

"Ini untuk mengurangkan beban dihadapi rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan bencana banjir," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Rosol berkata kementeriannya juga telah bertemu dengan Gardenia selepas syarikat itu menaikkan.

Menurutnya, Gardenia berjanji akan mengeluarkan produk baru yang akan dijual pada harga lama.

Timbalan menteri itu berkata Massimo boleh mempertimbangkan pilihan yang sama.

Rosol berkata Gardenia telah menjelaskan bahawa harga terpaksa dinaikkan berikutan kenaikan harga bahan mentah.

"Kementerian memahami alasan itu dan sebagai alternatif, Gardenia Bakeries berjanji untuk mengeluarkan satu produk baharu roti yang dijual pada harga lama.

"Langkah yang sama boleh dibuat oleh pengeluar Massimo supaya rakyat mempunyai pilihan," katanya.

Rosol berkata harga roti putih yang dikawal selia oleh kementeriannya dan kerajaan perlu dimaklumkan mengenai sebarang kenaikan harga.

“Bagi jenis roti lain, ia tidak tertakluk kepada kawalan harga,” katanya.

Massimo menaikkan harga White Sandwich Bread 400g keluarannya daripada RM2.38 kepada RM2.80 manakala versi 600g dinaikkan daripada RM3.35 kepada RM4. Kenaikan itu berkuat kuasa pada 1 Jan.

Sementara itu, Gardenia menaikkan harganya pada Disember tahun lalu.

Harga Gardenia Original Classic 400gnya dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM2.80 manakala versi jumbo 600gnya dinaikkan daripada RM3.55 kepada RM4.

Lihat Komen
ADS