Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak mengetuk pintu kereta untuk menuntut wang telah menimbulkan reaksi xenofobia atau ketakutan dan kebencian yang dianggap asing atau pelik.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said berkata mereka tidak harus dipersalahkan apabila sebenarnya, negara yang gagal menghalang mereka daripada dijadikan sebagai pengemis.

“Kanak-kanak Rohingya tidak patut dipersalahkan apabila mereka terjerumus ke jalanan.

“Kita gagal memberikan perlindungan yang sewajarnya apabila mereka menjadi pengemis atas permainan orang dewasa.

"Di mana Majlis Penyelarasan untuk Perlindungan Kanak-kanak?" soal ahli parlimen Umno itu.

Azalina juga adalah penasihat khas mengenai hak asasi manusia kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi sesiapa yang menggunakan kanak-kanak untuk mengemis atau aktiviti haram.

Hukuman yang sama diperuntukkan di bawah Seksyen 33 kerana membuarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah.

Ahad lalu, video kanak-kanak berkelakuan agresif menuntut wang di jalanan berhampiran Cheras, Kuala Lumpur tular di media sosial.