Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khutbah tegur kakitangan kerajaan makan rasuah
Diterbitkan:  Jan 7, 2022 3:43 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Mimbar Jumaat di Selangor memberi amaran laknat ke atas mereka yang terlibat dalam gejala rasuah, khususnya kakitangan awam.

Menurut khatib, sukar untuk mengenal pasti seseorang kakitangan kerajaan itu mengambil wang kerajaan secara salah atau pun tidak.

Bahkan, kata khutbah, wujud pula persepsi mustahil kakitangan kerajaan untuk tidak menjamah hasil pendapatan kerajaan secara tidak sah.

Sedangkan, kata khatib, laknat ditimpakan kepada orang yang menyuap rasuah, orang yang mengambil rasuah, dan juga orang tengah yang menjadi perantaraan antara keduanya.

Ada juga yang menggunakan jawatan untuk mendapatkan imbalan dalam pelantikan pangkat seseorang atau memindahkan pegawai dari satu daerah ke daerah lain - yang kata khatib, adalah perbuatan yang haram.

Bahkan, ada pula pegawai kerajaan yang menjadikan rasuah sebagai sumber meraih pendapatan yang lebih banyak daripada gaji sebenar mereka.

“Ini tentunya merugikan orang miskin, kerana rasuah menjadikan undang-undang dan peraturan sudah tidak berguna lagi.

“Yang berhak digantikan dengan orang yang tidak berhak. Kerana rasuah, wang yang semestinya milik mereka yang bekerja, tetapi bertukar kepada orang lain yang mengautnya”.

Lebih malang lagi, kakitangan kerajaan dalam agensi agama turut terpalit dengan budaya rasuah, seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kata khatib, sedangkan mereka mengetahui hukumnya haram dan berdosa besar.

“Tetapi kerana habuan dunia itu mengasyikkan maka hilanglah sikap amanah, jujur dan keikhlasan yang tertanam dalam sanubari selama ini,” pesan mimbar.

Khatib mengingatkan, Allah mengibaratkan orang alim yang derhaka kepada Allah seperti anjing yang jika dihalau ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, jika dibiarkan juga ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah.

“Harta benda dunia ini sangat menggiurkan. Kerap kali sehingga sampai tidak peduli tentang halal haramnya.

“Hadis daripada Khaulah binti Qais Radiallahu’anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya harta ini hijau dan manis, barangsiapa mendapatkan dengan haknya maka ia akan diberkati. Berapa banyak orang yang mengambil harta Allah dan rasul-Nya tanpa haknya secara sesuka hati, tiada balasan baginya pada hari kiamat nanti kecuali neraka’,” kata khatib lagi memetik hadis riwayat al-Tirmizi).

Membawa mesej serupa, khutbah di Perak pula mengenang tahun 2021 yang menyaksikan negara diduga dengan krisis politik, kesihatan, ekonomi dan alam sekitar yang menurut khatib, wajar dijadikan iktibar khususnya oleh pemimpin-pemimpin yang memegang amanah.

Menurut khatib, negara mengalami kegagalan daripada pelbagai sudut disebabkan perbuatan pecah amanah dan rasuah, yang mempunyai “kesan hiliran” yang merencatkan kerana setiap sektor itu saling berkaitan.

Di sepanjang 2021, kata khatib, negara menyaksikan laporan tangkapan dan dakwaan rasuah yang menunjukkan kita berada di tahap parah, dengan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kesungguhan negara dalam membasmi rasuah.

Meskipun mempunyai peruntukan undang-undang memadai untuk mencegah dan membendung rasuah, kata khatib, itu semua tidak bererti jika tiada kesungguhan di peringkat penguatkuasaan, penyiasatan, pendakwaan dan hukuman.

“Apatah lagi jika imej dan reputasi SPRM, kebelakangan ini turut tercalar, dengan adanya aduan dan laporan salah laku dalam kalangan para petugas di suruhanjaya berkenaan, yang mengakibatkan bertambah terhakis kepercayaan dan keyakinan rakyat.

“Semua pihak, secara bersama, wajib mengambil langkah berani supaya berlakunya gerakan jihad memerangi rasuah, agar negara kembali dimakmurkan dan kehidupan rakyat kembali disejahterakan.

“Pemimpin, media, masyarakat dan rakyat wajib berganding bahu menghapuskan barah rasuah dengan tekad, azam dan kesungguhan memenuhi satu tuntutan fardu kifayah,” pesan khatib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS