Kementerian Pertahanan menafikan telah membayar AS$100 juta (RM370 juta) kepada sebuah syarikat Malaysia sebagai bayaran komisyen dalam urusniaga ratusan juta ringgit yang membabitkan pembelian kapal selam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Zainal Abidin Zin memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan mengakui telah menandatangani satu kontrak bernilai Euro 114 juta (kira-kira RM490 juta) dengan sebuah syarikat bagi tujuan perkhidmatan sokongan dan penyelarasan.

Bagaimanapun, katanya, tiada wang dibayar kepada syarikat berkenaan seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang.

Zainal Abidin menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Lim (DAP-Ipoh Timor) sewaktu membahaskan Bajet 2007 hari ini.

Lim mendakwa, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh penganalisa politik, Abdul Razak Baginda telah menerima komisyen yang besar. Abdul Razak juga mengetuai sebuah badan pemikir khusus dalam isu strategik dan pertahanan.

Menurutnya lagi, Abdul Razak terbabit dalam urusniaga bernilai RM4.1 bilion antara pihak krajaan dengan syarikat usaha Perancis-Sepanyol, Armaris.

Di bawah urusniaga tersebut, kerajaan akan, antara lain, membeli dua kapal selam Scorpene (kiri) dan kapal selam Agosta dari Armaris.

Lim mahu tahu status urusniaga tersebut ekoran penangkapan Abdul Razak berkaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita Mongolia. Penganalisa politik itu minta dibicarakan atas tuduhan bersubahat.

Zainal Abidin berkata, kapal selam pertama dijangka diserahkan pada bulan Julai 2009 dan diikuti oleh kapal selam kedua tujuh bulan kemudiannya.

Lim mencelah dan bertanya sama ada satu siasatan bebas akan dijalankan dan juga siapakah "yang sebenarnya mendapat faedah" daripada urusniaga tersebut.

Katanya, komisyen tersebut mungkin dibayar oleh Armaris, tetapi ia akan dimasukkan ke dalam harga muktamad yang perlu dibayar oleh kerajaan.

Zainal Abidin mengulangi bahawa kerajaan tidak membayar sebarang komisyen kepada syarikat tersebut, sambil menegaskan bahawa kerajaan bersih dan perbelanjaannya di audit.

Tambahnya, Lim boleh membuat aduan kepada pejabat Ketua Audit Negara atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika beliau mempunyai bukti mengenainya." tambahnya.

Kaitan tentera?

Sementara itu, Zainal Abidin enggan mengulas sama ada bahan letupan plastik C4 yang didakwa digunakan untuk meletupkan badan wanita Mongolia itu diperolehi daripada simpanan senjata kerajaan.

"Kita serahkannya kepada siasatan pihak polis," katanya, walaupun berkali-kali dipaksa oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya menjawab soalan tersebut.

Lim berkata, Kementerian Pertahanan seharusnya dipertanggungajawabkan kerana bahan letupan C4 hanya boleh diperolehi oleh anggota tentera dan anggota polis tertentu sahaja.

Isu tersebut sebelumnya dibangkitkan oleh Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang menyuara kebimbangannya terhadap keselamatan awam, memandangkan bahan letupan seumpama itu, yang didakwa digunakan dalam kes pembunuhan itu, menurutnya mudah diperolehi.

Beliau juga mahu tahu sama ada bahan yang dilaporkan diguna untuk menyembur bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Bharu Julai lalu, diperolehi daripada simpanan senjata kerajaan kerana beberapa anggota tentera telah disoalsiasat oleh pihak polis. Berita asal