'Bantuan pascabanjir di Segamat perlu dapat kelulusan JPBD'
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat berkata, agensi kerajaan dan NGO yang ingin melakukan kerja-kerja bantuan dan pembersihan pasca banjir perlu mendapat kelulusan daripada jawatankuasa itu terlebih dahulu.
Dalam satu kenyataan, JPBD berkata permohonan perlu dikemukakan kepada jawatankuasa itu bagi tujuan penyelarasan dan keselamatan mereka yang terlibat.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Daerah Segamat mengalukan-alukan mana-mana agensi kerajaan, individu, NGO dan badan-badan selain agensi kerajaan yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir di Daerah Segamat.
"Bagi tujuan penyelarasan, keselamatan dan kesejahteraan semua pihak, diminta mana-mana agensi kerajaan, individu, NGO, dan agensi selain kerajaan yang ingin membantu, perlu membuat permohonan melalui borang permohonan perlaksanaan pasca banjir di Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Segamat.
"Setiap permohonan perlu mendapat kelulusan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat," katanya.
JPBD juga memaklumkan sebanyak 28 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif setakat jam 8 malam semalam, manakala 40 PPS telah ditutup.
Semalam enam sukarelawan bantuan banjir Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) di Segamat disoal siasat polis berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard ketika menyampaikan bantuan di PPS.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata lima sukarelawan telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat kelmarin, manakala seorang lagi disoal siasat awal petang semalam.
“Punca mereka disoal siasat kerana telah menyampaikan bantuan terus kepada individu yang meminta bantuan di PPS dan beberapa rumah.
"Mereka tidak menyampaikan bantuan ke lokasi yang ditetapkan. Bagi pihak pimpinan Muda, saya ingin memohon maaf kerana niat kami tidak menimbulkan sebarang kesulitan," kata ahli parlimen Muar itu dalam sesi langsung Facebook dari Segamat.

