Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gambar ‘demi menuntut ilmu’ cetus kebimbangan warga maya
Diterbitkan:  Jan 11, 2022 4:22 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Gambar pelajar yang terpaksa mengharungi jambatan gantung usang untuk ke sekolah menjadi perhatian di media sosial dengan sebahagian besar warga maya menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan pelajar berkenaan.

Imej itu - yang dikongsi Bernama di media sosial - memaparkan kanak-kanak berpakaian sekolah sambil membawa beg bertarung nyawa ketika mereka cuba menyeberangi sebuah jambatan gantung usang yang telah rosak.

Para pelajar dilihat dengan berhati-hati mencengkam tali sambil meniti di bahagian jambatan yang sudah kehilangan sebahagian besar daripada kayu atau papannya.

Menurut Bernama, beberapa pelajar SK Sibuga Besar di Sandakan, Sabah ini terpaksa menyeberangi jambatan usang berkenaan pada hari pertama sesi persekolahan.

Gambar-gambar yang dikongsi Bernama sejak itu menjadi tular di media sosial, dengan ramai yang mempersoalkan bagaimana perkara seumpama itu masih berlaku di Malaysia.

Dalam tweet yang dikongsi secara meluas, cikgu Nazira Roslee menggesa orang ramai supaya lebih prihatin dengan nasib kanak-kanak ini.

“Kanak-kanak ini mempertaruhkan nyawa mereka untuk mendapatkan hak asasi manusia.

“Anda sepatutnya menumpukan perbincangan mengenai mengapa selepas bertahun-tahun sejak pembentukan Malaysia, ini masih berlaku?” katanya, menjawab imej yang dikongsi Bernama.

Ramai juga yang menuduh wakil rakyat di kawasan itu tidak menjalankan tugas.

Gambar-gambar tersebut juga turut dikongsi di Facebook kumpulan guru yang menggesa pihak berkuasa tempatan bertindak segera untuk membaiki jambatan itu demi keselamatan pelajar.

Sesi persekolahan di seluruh negara bermula sejak 9 dan 10 Januari lalu.

Malaysiakini telah menghubungi wakil rakyat kawasan itu, iaitu Ahli Parlimen Libaran Zakaria Mohd Edris serta Adun Sungai Manila Mokran Ingkat, untuk mengulas perkara ini.

Menurut mereka, tindakan segera telah diambil bagi menangani perkara itu, dengan Mokran berkata dia juga sedang memohon peruntukan kerajaan untuk membaiki sepenuhnya jambatan gantung berkenaan.

Lihat Komen
ADS