Parti Bangsa Malaysia (PBM) menafikan parti itu menerima 'beberapa' pemimpin dari Bersatu.

Setiausaha PBM Perak, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail dalam satu kenyataan berkata, hanya permohonan Adun Buntong, A Sivasubramanian untuk menyertai Bersatu diproses oleh parti itu sebelum ini.

"Bagaimanapun keahlian YB Sivasubramaniam dipindahkan ke bahagian lain (tanpa pengetahuan YB) dan bukannya ditempatkan di bahagian parlimen Ipoh Barat yang beliau berkhidmat sekarang sebagai Adun Buntong,” kata Sharifah - yang juga Setiausaha Penggerak Komuniti Negara (PKN) Perak .

Menurutnya, permohonan Adun Tronoh, Paul Yong untuk menjadi ahli Bersatu langsung tidak diproses oleh parti itu - dengan Yong akhirnya membuat keputusan menyertai PBM.

Selain itu, dia menjelaskan bahawa Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng adalah wakil rakyat bebas sebelum menyertai PBM Perak - dan dakwaan dia telah menyertai MCA Perak adalah tidak benar.

Kenyataan Sharifah itu dibuat selepas terdapat laporan bahawa beberapa pemimpin Bersatu, termasuk dua Adun menyertai PBM.

Ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dilapor berkata parti itu tidak terjejas dengan tindakan beberapa anggotanya dengan sesetengahnya dilantik menjadi pemimpin atasan pertubuhan tersebut.

Paul Yong dan Sivasubramaniam merupakan bekas pemimin DAP yang dikatakan menyertai Bersatu pada Mac tahun lepas.

Sivasubramaniam kini dilantik sebagai naib presiden kanan II PBM manakala Yong sebagai bendahari agung.