Remaja lelaki yang dilaporkan hilang dalam kejadian di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang semalam, ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira jam 5.30 petang, hari ini.

Mangsa Muhammad Iznur Al-Azim Mahadi, 13, ditemukan oleh penduduk kampung yang menyertai pasukan pencari dan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan selamat oleh orang orang awam semasa operasi pencarian.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dengan jarak sekitar dua kilometer dari lokasi dilaporkan hilang," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan remaja berusia 13 tahun dilaporkan hilang pada Isnin lalu dan laporan polis dibuat oleh ibu mangsa.

Mangsa dipercayai keluar daripada rumah pada jam 9.00 malam sebelum ibunya menyedari kehilangannya pada jam 3.00 pagi semalam. 

Terdahulu Sik berkata, kawasan pencarian dengan jarak radius dua kilometer itu turut melibatkan agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung.