Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini memutuskan bahawa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 akan diadakan pada 16 hingga 19 Mac depan.

Sebelum ini, Umno menangguhkan PAU 2021 yang dijadualkan pada 13 hingga 15 Jan disebabkan bencana banjir yang melanda negara.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mesyuarat, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat malam ini yang dipengerusikan oleh presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

“Tarikh baru PAU 2021 ialah pada 16 Mac hingga 19 Mac 2022.

“Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri diadakan 16 Mac pada hari Rabu oleh timbalan presiden Mohammad Hasan. Sementara perhimpunan agung ketiga-tiga sayap itu diadakan pada 17 Mac.

“Ucapan dasar presiden dan perasmian perhimpunan agung Umno ditetapkan pada 18 Mac dan perhimpunan bermula pada hari kedua iaitu 19 Mac pada hari Sabtu,” katanya.

Ahmad juga berkata bahawa perhimpunan kali ini akan menjemput kesemua 14 perwakilan dari setiap bahagian.

“PAU 2021 tidak diadakan perhimpunan secara hibrid.

“Manakala, kesemua lima orang perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadiri perhimpunan agung masing-masing pada kali ini.

“Walaupun demikian SOP tetap akan dipenuhi daripada segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan aplikasi MySejahtera, sanitiser (pembasmi kuman) dan lain-lain,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS