Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPD di kawasan dua kluster Omicron ditamatkan lebih awal
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 9:16 AM
Dikemaskini: 1:21 AM

Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKDP) yang dikenakan terhadap dua kawasan kluster varian Omicron ditamatkan lebih awal daripada yang jadualkan.

PKPD berkenaan sebelum ini dilaksanakan di Felda Keratong 5 di Rompin, Pahang, mulai 6 Jan hingga 19 Jan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Rodzi Md Saad malam tadi mengumumkan PKPD di kawasan itu ditamatkan hari ini, iaitu lima hari lebih awal.

Penempatan Felda itu merekodkan dua kluster iaitu kluster Keratong 5 Saudi dan kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada 11 Jan lalu, dua kes indeks kluster Keratong 5 Saudi disahkan mempunyai varian Omicron, manakala kes indeks kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi adalah kes kemungkinan Omicron.

Secara keseluruhannya, tujuh kluster varian Omicron yang disahkan dan enam kemungkinan telah dikenal pasti di seluruh negara membabitkan jemaah umrah.

Ketiga-tiga kes indeks di dua kluster itu adalah jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi.

Menurut data yang disiarkan di laman Github Kementerian Kesihatan, kes indeks kluster Keratong 5 Saudi membabitkan dua rakyat Malaysia yang tiba dari Arab Saudi pada 22 Dis tahun lepas dan kemudiannya disahkan positif pada 26 dan 29 Dis.

Ia dikenal pasti sebagai kluster Covid-19 pada 29 Dis dengan jumlah 36 kes di Rompin dan Mersing (Johor) setakat Khamis. Kes terbaru dikesan pada 6 Jan.

Sementara itu, kes indeks bagi kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi kembali ke negara ini pada 29 Dis tahun lepas dan disahkan positif pada 2 Jan.

Ia dikenal pasti sebagai kluster pada hari berikutnya dengan sembilan kes di Rompin setakat ini. Kes terbaru dikesan pada 4 Jan.


Lihat Komen
ADS