Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu dadah: DAP Perak tuntut Adun Pasir Bedamar beri penjelasan
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 1:43 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

DAP Perak menuntut Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu memberi penjelasan berhubung penahanannya di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat mahu Terence memaklumkan situasi sebenar mengenai kejadian itu.

“Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa DAP memandang serius kelakuan, karakter dan integriti wakil rakyatnya dan mereka harus menjadi contoh teladan sebagai orang yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin mereka,” kata Nga.

Terence didakwa positif menggunakan bahan terlarang ketika berada di sebuah kelab malam di Pulau Pinang.

Dia dibebaskan daripada tahanan polis selepas tempoh tahanan yang singkat.

Menurut polis, seramai 36 daripada 47 orang yang ditahan semasa serbuan didapati positif dadah. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terence, 54, adalah Adun Perak selama dua penggal dan merupakan seorang peguam.

Lihat Komen