Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kaji semula larangan peniaga kecil berniaga ketika Thaipusam'
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Seorang Adun Selangor menggesa Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique mempertimbangkan semula keputusan melarang peniaga kecil daripada berniaga di kuil khususnya di kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves semasa perayaan Thaipusam 18 Jan ini.

Adun Sentosa, Gunaraj George menyifatkan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) di saat-saat akhir sebagai menindas peniaga terbabit.

"Pengumuman SOP saat akhir untuk tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam apa-apa bentuk untuk promosi atau jualan dalam kawasan kuil atau luar kawasan kuil dilihat menindas para peniaga kecil yang telah membuat persiapan awal.

"Para peniaga kecil ini telah mengeluarkan modal bagi membuat persiapan membeli barang niaga tetapi akhirnya kerajaan tidak membenarkan (mereka meniaga).

"Sudah pasti, kesempitan dan cabaran ekonomi ketika PKP sejak dua tahun lalu memberi impak sangat besar kepada para peniaga kecil ini. Inilah masanya mereka ingin kembali bangkit untuk mendapatkan sedikit pendapatan melalui perayaan tahunan," katanya dalam kenyataan media.

Halimah sebelum ini dilapor mengingatkan pihak pengurusan kuil untuk membenarkan hanya gerai jualan kekal di bawah pengurusan mereka beroperasi sepanjang perayaan Thaipusam, manakala sumbangan makanan dan minuman percuma tidak dibenarkan.

Menurutnya, gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil juga tidak dibenarkan.

Mengulas lanjut Gunaraj berkata, setelah dua tahun negara dilanda Covid 19, masyarakat sedia maklum mengenai kepatuhan SOP Covid 19.

"Jika gagal mematuhi sudah pasti denda dan hukuman setimpal akan dikenakan. Oleh yang demikian, peniaga kecil ini harus dibenarkan berniaga dengan kawalan oleh agensi penguatkuasa berkaitan.

"Saya berharap menteri melihat perkara ini dengan terbuka dan bersedia untuk membuat satu keputusan yang lebih adil kepada para peniaga kecil dan masyarakat Hindu," tambahnya.

Lihat Komen
ADS