mk-logo
Berita
Agong, Permaisuri ziarah keluarga arwah Sarjan Suhaimi
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 10:40 AM
Dikemaskini: 10:42 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Seri Kembangan, Selangor menziarahi keluarga pengiring bermotosikal Seri Paduka, Sarjan Suhaimi Zakaria yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas di ibu negara, semalam.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua juga amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sepanjang bertugas di Istana Negara.

Allahyarham Suhaimi yang berasal dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan mula bertugas di Istana Negara pada 2019.

- Bernama

 

Lihat Komen