Jejambat MRR2 Kepong dibuka semula tengah malam ini
Jejambat Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) di Kepong akan dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai tengah malam ini.
Jejambat Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) di Kepong akan dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai tengah malam ini.
Semua kerja pembaikan jejambat itu telahpun siap sepenuhnya dan kesemua enam lorong di kedua-dua bahagian jejambat akan dibuka kepada kenderaan ringan dan berat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kerja-kerja pembaikan yang bermula pada Mac 2006 itu berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
"Struktur sementara yang ditempatkan di atas jejambat tersebut untuk menghalang kenderaan berat menggunakan jejambat sebelum ini, juga akan dialihkan hari ini.
"Pada tengah malam ini (8 Disember), jejambat tersebut dapat digunakan 100 peratus oleh semua kenderaan tanpa apa-apa halangan," katanya.
Keselamatan pengguna
Menurut laporan Bernama, Samy Vellu turut berterima kasih kepada semua pengguna jejambat itu yang begitu sabar menunggu sementara kerja-kerja pembinaan dilakukan.
"Saya kesal kerana pengguna-pengguna terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan semasa tempoh penutupan jejambat tersebut tetapi ia bagi menjamin keselamatan semua pengguna," katanya.
Laluan di jejambat itu sepanjang 1.7km, ditutup kepada semua kenderaan pada 8 Ogos 2004 berikutan keretakan pada 31 tiang rasuknya dan dibuka semula untuk kenderaan ringan pada 12 Nov 2004 manakala bagi semua kenderaan mulai 7 Dis 2004.
Bagaimanapun, ia ditutup semula pada Februari lepas untuk kerja-kerja pembaikan dan empat daripada enam lorong jejambat tersebut dibuka semula untuk kenderaan ringan lewat tahun ini.

