‘Main belakang’ - Keputusan rayuan KJ terhadap saman fitnah Anwar pada 7 Feb
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan mengetahui pada 7 Feb sama ada dia berjaya dalam rayuannya terhadap saman fitnah yang difailkan oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim berhubung kenyataan "main belakang" yang dibuatnya pada 2008.
Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh keputusan itu setelah mendengar hujah daripada peguam kedua-dua pihak semasa prosiding dalam talian yang dijalankan melalui zoom hari ini.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Lee Swee Seng mendengar hujah daripada Muhammad Shafee Abdullah dan Gopal Sri Ram, yang masing-masing adalah peguam utama Khairy dan Anwar.
Panel mahkamah Rayuan yang lain ialah hakim Darryl Goon Siew Chye dan hakim Ghazali Cha.
Mahkamah Rayuan sebelum ini mendengar merit rayuan Khairy berhubung perintah yang mengarahnya untuk membayar ganti rugi RM150,000 kepada Anwar.
Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan yang Khairy telah memfitnah Anwar dengan kenyataan itu yang dibuat pada ceramah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, pada awal 2008, sejurus sebelum pilihan raya umum ke.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Khairy untuk mengubah pernyataan pembelaannya.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 7 Feb untuk memutuskan rayuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi mencabar saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral, 14 tahun lepas.
Tarikh itu ditetapkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha dalam prosiding yang berlangsung secara maya hari ini.
"Terima kasih kepada kedua-dua pihak yang telah mengemukakan hujahan bertulis dan lisan kepada mahkamah. Kami memerlukan masa untuk meneliti perkara ini," kata Lee selepas mendengar hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Khairy, dan Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi pihak Anwar.
Panel itu turut menetapkan 24 Jan untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis mengenai kos.
Anwar, yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda Umno, pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.
Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan memerintahkan beliau membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.
Hakim itu turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah komen yang wajar.
Khairy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi namun pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan membatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.
Pada 15 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, Sri Ram berhujah perkataan yang diucapkan oleh Khairy membawa maksud memfitnah terhadap Anwar.
“Dalam hal ini, adalah penting untuk diingat bahawa perkataan atau kenyataan yang dikompelin oleh Anwar ialah: ‘Anwar main dua-dua ikut belakang.’
“Dalam pengertian Bahasa Melayu yang biasa dan difahami oleh rakyat Malaysia (sama ada beliau Melayu atau tidak) perkataan itu merujuk kepada hanya satu perlakuan iaitu, dalam konteks ia diucapkan, homoseksualiti,” kata Sri Ram.
Beliau juga berkata aduan Anwar dalam kes ini hanya berkaitan dengan satu pertuduhan iaitu Anwar didakwa sebagai seorang homoseksual atau berkecenderungan untuk melakukan perbuatan sedemikian.

