Kerajaan dingatkan janji BN, PH untuk naikkan gaji minimum
Sebuah gabungan NGO menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum memandangkan BN dan Pakatan Harapan (PH) telah membuat janji sedemikian pada pilihan raya umum 2018.
Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) berkata kerajaan boleh menaikkan gaji minimum kepada RM1,400 pada Feb tahun ini dan RM1,500 pada Feb tahun depan.
“Memandangkan PH dan BN telah berjanji semasa pilihan raya umum ke-14 untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 menjelang akhir tempoh lima tahun mereka, kerajaan (semasa) yang terdiri daripada parti komponen BN dan bekas parti komponen PH, harus merealisasikan janji pilihan raya ini," kata LLRC.
Mengikut Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, kerajaan boleh menetapkan gaji minimum melalui warta persekutuan.
Di bawah Seksyen 25 akta yang sama, majlis berkenaan "hendaklah" menyemak gaji minimum setiap dua tahun.
LLRC menegaskan bahawa perintah sebelumnya berkuat kuasa pada 1 Feb 2020 dan dengan itu perintah baru boleh ditetapkan pada 1 Feb tahun ini.
LLRC berkata meskipun Seksyen 25 memperuntukkan kajian terhadap perintah gaji minimum perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun namun tidak ada undang-undang yang menghalang kerajaan daripada mengkaji semula gaji minimum sekerap yang dikehendaki.
Pada masa ini, gaji minimum bagi 56 kawasan di bawah pentadbiran majlis bandar raya atau majlis perbandaran dikehendaki menetapkan gaji minimum pada RM1,200.
Selain wilayah bandar utama pula menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,100.
Gaji minimum mula diperkenalkan pada 2013 dan ditetapkan sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak.
Pada 2016, kadar itu dinaikkan kepada RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak.
Semasa pentadbiran PH, gaji minimum dinaikkan dua kali - RM1,100 pada 2019 dan kadar semasa yang dinyatakan di atas pada 2020.
LLRC mendakwa mendapat sokongan 58 kumpulan termasuk kesatuan sekerja dan kumpulan yang mewakili pekerja.

