Isu perebutan mayat pemandu van A Rayappan antara ahli keluarganya dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) masih belum selesai apabila Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini menolak permohonan Mais untuk menarik balik tuntutannya.

Oleh itu, Hakim Abu Zaky Mohammad berkata penghakiman yang terdahulu kekal dan perbicaraan tuntutan akan diteruskan dengan memanggil ahli keluarga Rayappan, 69, yang terdekat dan warisnya pada 12 Disember ini.

Pada 1 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah selain mengesahkan Rayappan sebagai Islam turut memberikan hak kepada Mais menguruskan jenazah.

Abu Zaky berkata permohonan Mais adalah tidak bertepatan dan bercanggah dengan Seksyen 95 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 yang memperuntukkan permohonan untuk manarik balik kes perlu mendapatkan kebenaran mahkamah.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, mahkamah berpuas hati dengan keputusan 1 Disember lalu dan ianya dikekalkan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Juraish Kamarudin yang mewakili Mais berhujah bahawa pihaknya membuat permohonan itu mengikut Seksyen 65(1) Enakmen Tatacara Mal untuk menarik balik seluruh prosiding.

Katanya, Mais telah memfailkan permohonan itu semalam kerana meragui sejauhmana Mais boleh bertindak dan pihaknya mempunyai beberapa alasan yang mendorong perkara itu dibuat antaranya untuk memelihara kesejahteraan masyarakat Islam.

Elak tohmahan

"Dalam keputusan Mahkamah Rayuan hanya perenggan 1 dan 2 dikekalkan dan kes ini perlu dibicarakan tetapi pemohon (Mais) sukar untuk mendapatkan bukti-bukti baru bagi menyokong permohonan asal (tuntutan mayat)," kata beliau.

Katanya, penarikan itu juga demi mengelak tohmahan dari masyarakat Islam dan bukan Islam yang hanya faham perkara tersurat dan bukannya yang tersirat.

Sementara itu, Abu Zaky menolak permohonan peguam pemerhati Zainur Rijal Abu Bakar yang mengetuai 10 peguam yang lain untuk berhujah kerana tiada dalam peruntukan undang-undang di mahkamah syariah yang membenarkan peguam pemerhati berbuat demikian.

Sebelum mahkamah bersidang Zainur memohon supaya mahkamah membenarkan kesebelas peguam direkodkan sebagai peguam pemerhati dalam kes tuntutan itu dan ia tidak dibantah oleh pihak Mais dengan syarat tidak boleh berhujah mengenai kes itu.

Permohonan Zainur untuk berhujah dibuat selepas Juraish selesai mengemukakan hujahnya.

Zainur meminta berbuat demikian kerana menurutnya penarikan tuntutan itu adalah salah aturan dari segi tatacara dan undang-undang dan sebagai peguam syarie beliau berhak menegakkan kepentingan agama Islam.

Mais memfailkan notis penarikan balik tuntutan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Keluar sapina

Dalam prosiding rayuan yang didengar oleh panel tiga hakim di kamar Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam diputuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa menentukan status Islam Rayappan.

Panel Rayuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Sheikh Ghazali Ab. Rahman berpendapat, keputusan Abu Zaky pada 1 Disember lalu bahawa Rayappan yang meninggal dunia pada 29 November 2006 di Hospital Kuala Lumpur, seorang beragama Islam, adalah betul dan mengikut peruntukan undang-undang. Mais diberi hak menguruskan jenazah Rayappan.

Namun setelah perintah tersebut sukar dilaksanakan, Ketua Hakim Syarie mengarahkan supaya kes dipanggil semula bagi memberi peluang kepada waris memberikan keterangan.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 Disember mengeluarkan sapina kepada waris Rayappan supaya hadir memberi penjelasan.

Bila kes disebut semula, waris Rayappan tidak hadir di mahkamah atas alasan sebagai bukan beragama Islam mereka tidak tertakluk kepada mahkamah syariah.

Pada 4 Disember juga, balu Rayappan, Lourdes Mary a/p Maria Soosay, 69, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perisytiharan bahawa suaminya yang berusia 70 tahun, beragama Kristian dan mengikuti ajaran agama itu sebelum meninggal dunia.