Demo #TangkapAzam: Polis panggil Pemuda Amanah
Beberapa pemimpinan Pemuda Amanah dipanggil pihak polis susulan sidang media yang diadakan mereka pagi tadi bagi memberi sokongan kepada demonstrasi #TangkapAzamBaki.
Menurut makluman media yang dihantar Pemuda Amanah, tiga pemimpin mereka dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi esok untuk disoal siasat.
Mereka ialah peguam Fadhli Umar, Naib Ketua Pemuda Amanah, Zubair Rahim dan Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah , Abbas Azmi
."Sidang Media akan diadakan sejurus selepas keterangan selesai diambil," kata makluman media berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi Malaysiakini berkata, ketiga-tiga pemimpin Pemuda Amanah itu dipanggil untuk membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial pada 13 Jan lalu.
Terdahulu Pemuda Amanah pagi tadi mengadakan sidang media untuk memaklumkan yang mereka akan menggerakkan lebih 1,000 ahli bagi menyertai demonstrasi pada Sabtu ini.
Demontrasi itu bertujuan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Semalam polis berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka itu.
Beberapa hari lalu, sebuah poster yang menyeru orang ramai untuk menyertai protes itu mula tular di media sosial.
Identiti penganjurnya masih belum jelas, tetapi poster itu telah dikongsi oleh ramai individu termasuk beberapa ahli politik.
Walaupun lokasi demonstrasi pada mulanya dirahsiakan, ia kemudian didedahkan bahawa perhimpunan akan diadakan di Sogo di Kuala Lumpur.
Azam mencuri tumpuan baru-baru ini susulan dakwaan mengenai pemilikan saham dalam dua syarikat pada 2015 yang melebihi had yang dibenarkan.
Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016.
Ketika itu, dia adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

