Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, hari ini menghantar usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun untuk membincangkan isu skandal pemilikan saham Azam Baki.

Dalam surat bertarikh hari ini dan dikongsikannya di media sosial, Ahli Parlimen Pulai itu berharap agar usul tergempar yang dikemukakannya itu dapat dibahaskan pada persidangan khas Dewan Rakyat esok.

"Demi negara dan rakyat saya harap usul tergempar ini akan diterima untuk dibahas dalam sidang Parlimen esok," ciapnya di Twitter hari ini.

Salahuddin turut memuatnaik salinan usul tergempar yang dikemukakan kepada Azhar dan menggesa agar Parlimen membuka ruang bagi membahas isu berkenaan.

Kata Salahuddin, perkara itu perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah melakukan siasatan lebih lanjut terhadap dakwaan ke atas pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memiliki saham dalam jumlah "yang melampau".

"Ini adalah perkara yang berkaitan kepentingan awam untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah atau segala aktiviti yang menjerumuskan kepada pecah amanah yang kerajaan bertanggungjawab untuk menjelaskan keadaan ini," katanya.