Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO minta orang ramai hadiri perhimpunan 'henti aniaya Najib'
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 1:11 AM
Dikemaskini: 1:11 AM

Sebuah NGO yang dikenali sebagai Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia meminta orang ramai menghadiri perhimpunan bagi 'menghentikan penganiayaan' terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak di bangunan PWTC, Kuala Lumpur pada 23 Jan ini.

Pengerusi Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz, berkata bekas perdana menteri itu telah dizalimi dan dinafikan hak mendapat keadilan dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Syed Muhammad Imran juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyembunyikan bukti-bukti baru yang boleh membebaskan Najib daripada kesemua tuduhan di mahkamah.

“Dengan ini kami memohon agar rakyat & kesemua pihak yang bersimpati juga dapat merasai bahawa Datuk Seri Najib Razak sebenarnya telah dianiaya, dizalimi, ditindas, dikasari, dikejami serta dinafikan hak & keadilan supaya hadir beramai-ramai pada 23 Januari 2022 jam 10.00 pagi - 1.00 petang di Aras 4 PWTC Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Rayuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International iaitu bekas anak syarikat 1MDB.

Najib bagaimanapun mengemukakan rayuan keputusan itu di Mahkamah Persekutuan. Selain itu, bekas presiden Umno itu juga menghadapi pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB daripada beberapa anak syarikatnya yang lain.

Syed Muhammad Imran berkata selain itu, perhimpunan itu juga bagi menyatakan kebimbangan rakyat terhadap pelbagai isu semasa termasuk kenaikan kos harga makanan, pengangguran, keperluan untuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan isu banjir.

Pemimpin NGO itu berkata dia juga telah membuat laporan polis mengenai dakwaan SPRM menyalahgunakan kuasa dengan menyembunyikan bukti-bukti baru, antaranya ‘Laporan Ambank’ yang telah mengaitkan nama-nama besar seperti bekas Gabenor Bank Negara Zeti Aziz dan suaminya, Tawfiq Ayman.

Bagaimanapun katanya, pihaknya terkejut apabila mendapati pihak polis tidak membuka sebarang kertas siasatan, sebaliknya hanya merujuk kes itu kepada SPRM.

Selain itu dia juga membangkitkan penglibatan bekas menteri Nor Mohamed Yakcop yang mengesyorkan penubuhan SRC serta membentangkan kertas Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan supaya syarikat itu boleh meminjam dana sebanyak RM4 bilion dari KWAP.

"Pendedahan-pendedahan ini semua jelas menunjukkan bahawa Pejabat Peguam Negara, pihak pendakwaan dan agensi-agensi siasatan utama negara telah mengetahui salah laku Tan Sri Zeti Aziz dan Tan Sri Nor Mohd Yakcop sejak tahun 2019.

"Maka Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia akan terus bertindak mengikut saluran undang-undang yang boleh dan dirasakan perlu agar pihak-pihak berkuasa boleh menyiasat jika wujud sebarang usaha oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan PH dan PN dahulu untuk menyorokkan salah laku kedua-dua tokoh ‘bernama besar’ di atas supaya ia tidak dapat digunakan oleh Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan pembelaan kes-kes mahkamah beliau," katanya.

Lihat Komen
ADS