Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nilai pengeluaran sektor ekonomi susut RM4-RM8 bilion
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Kementerian Kewangan menganggarkan bencana banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang melanda pada Disember lepas menyebabkan pengurangan nilai pengeluaran sektor ekonomi antara RM4 billion hingga RM8 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata walaupun bencana tersebut telah menjejaskan aktiviti ekonomi khususnya di kawasan yang terkesan, unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal antara 3.0-4.0 peratus bagi keseluruhan 2021.

Bercakap pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini, beliau berkata kerajaan telah mengambil kira indikator utama yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan.

“Momentum pemulihan tersebut dijangka berterusan sepanjang tahun ini iaitu ekonomi kita dijangka terus berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia,” katanya.

Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir tersebut membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir, pascabanjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia serta perancangan jangka panjang bagi pengurusan bencana tersebut.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata IMF dan Bank Dunia telah menyasarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 6.0 peratus dan 5.8 peratus.

“Pemacu utama pertumbuhan Malaysia termasuk pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial susulan peralihan seluruh negara ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara,” kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS