Dua Adun Johor tak akan pertahan kerusi masing-masing
Dua Adun di Johor tidak akan akan mempertahankan kerusi masing-masing di tengah-tengah khabar pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan tidak lama lagi.
Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkata, dia berhasrat untuk bersara dan tidak kesal mengambil keputusan berkenaan.
Ditanya mengenai tarikh PRN Johor, Mazlan berkata ia merupakan hak Menteri Besar, Hasni Mohamad dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membuat keputusan.
Mazlan juga enggan mengulas mengenai persiapan Bersatu untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
"Saya bukan ketua kerana Muhyiddin Yassin adalah ketua," katanya dipetik The Star.
Pada 8 Jan lalu, Mazlan yang juga pengerusi jawatankuasa pendidikan, penerangan, warisan dan budaya negeri Johor menafikan keluar Bersatu untuk menjadi ahli parlimen bebas.
Sementara itu, Adun Yong Peng, Chew Peck Choo dari DAP berkata dia tidak akan menyertai pilihan raya akan datang bagi memberi perhatian kepada suami dan anak-anaknya.
Chew berkata dia mahu menghabiskan sisa hidup bersama keluarga yang telah memberi sokongan terhadap kerjaya politiknya selama ini.
"Hari ini ulang tahun perkahwinan kami yang ke-28. Kami dikurniakan dua anak selepas perkahwinan kami. Lelaki ini ada di sisi saya sepanjang empat pilihan raya.
"Beliau menyokong saya sejak saya dipilih sebagai Adun pada 2013 tanpa sebarang kekesalan. Tak ada apa-apa yang perlu diperkatakan," kata Chew yang berusia 54 tahun.

