Hanya 18% bukan bumi isi jawatan perkhidmatan awam
Statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan hanya 18 peratus calon bukan bumiputera dilantik mengisi jawatan kosong dalam perkhidmatan awam pada tahun 2003, 2004 dan 2005.
Statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan hanya 18 peratus calon bukan bumiputera dilantik mengisi jawatan kosong dalam perkhidmatan awam pada tahun 2003, 2004 dan 2005.
Menjelaskan perkara tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok berkata ia ekoran permohonan dari bukan bumiputera, khususnya kaum Cina dan India adalah kurang, berbanding permohonan dari kalangan bumiputera.
Berikutan itu, tambahnya, statistik SPA menunjukkan lebih 81 peratus jawatan dalam perkhidmatan bagi tahun 2003, 2004 dan 2005 diisi oleh kaum bumiputera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok berkata, statistik SPA bagi tahun tahun 2003 menunjukkan 81.73 peratus 14,190 dalam perkhidmatan awam, diisi oleh bumiputera manakala bakinya bukan bumiputera (18.72 peratus).
Menurut laporan Bernama, bagi 2004 pula, 81.34 peratus daripada 19,552 pelantikan adalah bumiputera dan 18.66 peratus bukan Bumiputera.
Manakala statistik SPA bagi tahun 2005 menunukkan 81.06 peratus daripada 19,495 jawatan diisi calon Bumiputera dan 18.94 peratus bukan Bumiputera.
Menurut Dompok lagi, SPA juga telah diminta menyiasat masalah peratusan rendah pelantikan bumiputera dari Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam.
Bumiputera Sabah, S'wak
"Kami telah mengadakan satu mesyuarat dengan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan berhubung masalah ini. Saya akan mengadakan pertemuan dengan SPA mulai tahun depan untuk mengetahui puncanya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.
Sambil merujuk statistik, Dompok berkata daripada 18,858 permohonan yang diterima daripada kaum Iban, hanya 24 calon diterima menyertai perkhidmatan awam manakala cuma satu daripada 617 Orang Asli yang memohon, diterima.
Daripada 17,836 permohonan Kadazan-Dusun, cuma 38 yang dilantik, dan hanya 19 daripada 8,203 pemohon dari kaum Bajau, dilantik ke perkhidmatan awam, katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Lee Chee Keong di Dewan Negara, Dompok berkata SPA tidak mengunakan faktor kaum dalam proses penapisan pemohonan untuk dipanggil temuduga.
Lee bertanya mengenai keberkesanan usaha SPA menarik penyertaan golongan bukan Bumiputera berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Dompok yang menegaskan pemilihan dan pelantikan yang dijalankan SPA adalah telus, mengakui nisbah bilangan kakitangan awam antara kaum pada masa ini tidak seimbang.

