Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun syak kegiatan pembalakan sudah dibenarkan kembali di Pahang
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 5:11 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Bunyi jentera berat dan mesin yang diselangi dengan seakan-akan pokok tumbang sejak pagi membawa ke petang di Bentong sejak akhir-akhir ini menimbulkan persoalan sama ada kegiatan pembalakan di Pahang kembali diizinkan atau sebaliknya.

Menurut Adun Bilut, Lee Chin Chen, bunyi yang mengundang curiga itu asalnya didengari penduduk Taman Shahbandar Height yang kemudian mengadu kepadanya.

Justeru untuk mendapatkan pengesahan, Lee berkata, dia sendiri ke kawasan petempatan itu dan mengesahkan aduan penduduk terbabit.

Kata Lee, dia memang boleh mendengar bunyi seakan-akan pokok ditebang dengan jelas.

"Saya sangat terkejut kerana kegiatan pembalakan berkenaan nampaknya mengingkari perintah larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Pahang pada 3 Jan lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee turut menunjukkan gambar yang didakwanya dirakamkan dron sebagai bukti kegiatan pembalakan sedang dijalankan dalam skala yang membimbangkan di kawasan tersebut.

Bentong merupakan salah satu kawasan yang terjejas teruk oleh banjir pada bulan lalu. Ia menjadi lebih menarik perhatian ramai dengan kemunculan batang-batang pokok yang dipercayai dari kegiatan pembalakan.

Harap dapat disiasat segera

Pada 4 Jan lalu Malaysiakini melaporkan Jabatan Perhutanan Pahang telah mengeluarkan arahan penangguhan sementara terhadap aktiviti pembalakan sempena musim tengkujuh dan bencana banjir.

Surat yang dilihat Malaysiakini itu dikeluarkan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Mohd Hizamri Mohd Yasin pada 3 Jan. 

Menurut surat itu, penangguhan tersebut akan berlanjutan "sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak."

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini beberapa pihak mengesyaki kebenaran untuk kegiatan pembalakan di Pahang sudah diberikan semula.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Mohd Hizamri mengenai isu ini dan sedang menunggu respon daripadanya.

Kata Lee perkembangan terbaru itu memang membimbangkan kerana kegiatan pembalakan dipercayai menyumbang kepada kejadian banjir kilat di Bentong baru-baru ini.

Sementara itu Adun Tras, Chow Yu Hui, berkata dia dan penduduk Taman Shahbandar Height sudah membuat laporan polis mengenai kegiatan yang membimbangkan itu.

Justeru, kata Chow, penduduk terbabit berharap pihak polis boleh bertindak segera dan tegas untuk menyiasat sama ada aktiviti pembalakan di kawasan tersebut melanggar undang-undang atau sebaliknya.

“Pada tahun lepas, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan negeri ini mengutamakan usaha memulihara alam sekitar, namun pada realitinya, dia mengizinkan syarikat pembalakan membersihkan hutan simpan secara rakus.

"Ini kelihatan sangat hipokrit,” katanya.

Lihat Komen
ADS