Isteri Rayappan mahu saman Mais dan Jais
Isteri mendiang Rayappan Anthony merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Isteri mendiang Rayappan Anthony merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Lourdes Mary Maria Soosay, 65, dijangka memfailkan saman tersebut hujung minggu ini.
Mary memberitahu satu sidang akhbar di Wisma Denmark hari ini bahawa keluarganya kecewa kerana terpaksa menunggu sembilan hari untuk menyelesaikan pengkebumian suaminya, dan mahu menuntut keadilan dalam kes tersebut.
Peguamnya, A Sivanesan berkata, Mary akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mais dan Jais serta menuntut gantirugi terhadap apa yang telah terpaksa dilalui oleh keluarga mereka sepanjang usaha menuntut mayat Rayappan.
"Beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap trauma dan penderitaan yang terpaksa dialami oleh keluarganya selama sembilan hari. Apa yang dilakukan oleh Mais dan Jais adalah tidak adil walaupun mengetahui dia (Rayappan) adalah seorang Kristian," katanya.
Sebelum itu, Sivanesan menemui Hakim Kang Hwee Gee dalam kamarnya, untuk menarik balik saman terhadap ketua pengarah Hospital Kuala Lumpur dan kerajaan, bagi mendapat pengisytiharan Rayappan seorang Kristian dan mayatnya diserahkan kepada keluarganya.
Mayat Rayappan telahpun dibakar Jumaat lalu di tempat membakar mayat di Cheras, selepas Mais menarik balik tuntutannya.
Sivanesan berkata, tindakan tersebut diambil "kerana kita perlu menentukan hak individu yang berdepan dengan masalah yang sama".
Jelasnya, pihak negeri kini perlu memperjelaskan mahkamah mana yang mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes berhubung mualaf di bawah Artikel 121 (1)(a) perlembagaan.
"Bagaimanakah kita hendak menangani kes mualaf yang kemudiannya bercerai dengan pasangan Islam? Bagaimanakah kita hendak menangani pihak ketiga, umpamanya keluarga Rayappan?
"Ini kerana wujudnya kekaburan dalam undang-undang yang telah mengakibatkan tekanan yang besar yang terpaksa ditanggung oleh pihak keluarga, tanpa sebab-sebab yang tidak wajar," katanya.
'Tidak mahu bekerjasama'
Sivanesan kemudiannya mengecam Mais dan Jais kerana sikap mereka yang tidak mahu bekerjasama ketika menangani perkara tersebut.
Katanya, tiada satu dokumen pun yang dikemukakan untuk membuktikan Rayappan seorang Islam dan hanya menghubungi keluarga berkenaan ialah apabila mahu mereka hadir di Mahkamah Syariah.
"Mengapa mereka begitu berahsia? Jika mereka berkeras dia seorang Islam, maka mereka harus mengemukakan semua dokumen yang ada. Jelas, buktinya menunjukkan Rayappan seorang Kristian," katanya.
Menurutnya lagi, selepas menarik tuntutannya, Mais gagal memaklumkan kepada pihak hospital supaya menyerahkan mayat Rayappan kepada keluarganya, sehingga mereka terhapsa meminta bantuan menteri kabinet.
"Kita telah menghubungi (Menteri Kerjaraya) Datuk Seri S Samy Vellu yang kemudiannya menghubungi (Menteri Kesihatan) Datuk Seri Chua Soi Lek untuk bantuan. Hanya selepas itu, mayat tersebut diserahkan kepada kami pada jam 6.40 petang Khamis lalu," kata Sivanesan.
Khamis lalu, Mais memfailkan permohonan untuk menarik balik tuntutannya terhadap mayat Rayappan, tetapi gagal memaklumkannya kepada pihak hospital berkenaan.
Rayappan, 71, yang memeluk Islam pada 1990 selepas berkahwin dengan isteri keduanya yang beragama Islam, balik semula kepada keluarga dan agama asalnya pada 1999.
Dia kemudiannya menukar namanya dan menandatangani satu surat akuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pada 10 Mei 1999.
Bagaimanapun, kematiannya pada 29 November lalu telah mencetuskan kontroversi selepas Jais menuntut mayat Rayappan atas alasan dia masih beragama Islam. Berita asal

