Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah putuskan esok jika Zahid perlu bela diri
Diterbitkan:  Jan 23, 2022 10:04 AM
Dikemaskini: 2:04 AM

Esok, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi akan mengetahui sama ada dia akan bebas atau perlu membela diri terhadap 47 pertuduhan penyelewengan, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi bernilai puluhan juta.

Pada Isnin, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah akan memaklumkan keputusannya sama ada pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Zahid.

Ia melibatkan 12 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. Zahid mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

Di bawah undang-undang jenayah, prima facie bermaksud pertuduhan yang, secara zahirnya, telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan melainkan tertuduh kemudiannya berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.

Keputusan pendakwaan yang dijangkakan dibuat selepas 99 saksi - termasuk bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar serta bekas setiausaha eksekutif tertuduh Mejar Mazlina Mazlan@Ramly - telah memberi keterangan semasa perbicaraan yang bermula pada 18 Nov, 2019.

Saksi terkenal lain yang berpihak kepada pendakwaan ialah B Muralidharan, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, dan pengurup wang Omar Ali Abdullah.

Dana didakwa digunakan untuk kegunaan peribadi

Bagi pertuduhan CBT, Zahid didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Affin Bank Berhad di Jalan Bunus di luar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.

Di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, kesalahan CBT boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, serta sebat dan denda.

Berhubung dengan lapan pertuduhan rasuah itu, Zahid dikatakan telah menerima rasuah daripada tiga firma - Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Bhd dan Profound Radiance Sdn Bhd - sebagai dorongan untuknya, dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu, untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan masing-masing dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa pekerja asing di Pakistan dan Nepal.

Di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank di Dataran Maybank, di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Berhubung 27 pertuduhan pengubahan wang haram pula, ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa terlibat dalam transaksi langsung melibatkan pendapatan daripada aktiviti haram, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Pertuduhan-pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Tingkat 1, Tower A, No 1 Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, antara bulan March 29, 2016 dan 11 April 2018.

Kemungkinan pembelaan perbicaraan

Sekiranya Zahid diperintahkan membela diri esok bagi kesemua atau sebahagian pertuduhan itu, Mahkamah Tinggi akan mengadakan peringkat pembelaan perbicaraan bermula 28 hingga 30 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 Mei hingga 26 dan 27 hingga 30 Jun.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya kanan Raja Rozela Raja Toran, manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

Presiden Umno itu juga sedang menjalani perbicaraan rasuah yang berasingan di hadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melibatkan 40 pertuduhan yang dikaitkan dengan sistem visa luar negara (VLN). 

Lihat Komen
ADS