Kementerian Kewangan hari ini menafikan bahawa ketua Umno bahagian merupakan pihak yang mendapat faedah daripada peruntukan tambahan RM600 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk pembangunan luar bandar.

Setiausaha Parlimennya, Datuk Dr Hilmi Yahya memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan tersebut.

Dan menurutnya, peruntukan RM600 juta itu diberi mengikut 'prosedur biasa'.

Katanya, Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan supaya wang itu disalurkan melalui (pejabat) daerah, dan bukan melalui bahagian Umno.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mencelah dan berkata: "Saya adalah salah seorang ketua Umno bahagian, tetapi saya tidak menerima peruntukan tersebut. Saya sokong apa yang (Dr Hilmi) katakan."

Dr Hilmi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) sewaktu perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Kewangan 2006.

Lim bertanya bagaimana peruntukan RM600 juta telah menjadi 'peruntukan Umno' dan mengapa peruntukan itu tidak diluluskan sama ada oleh Parlimen atau kabinet.

Pada 13 November lalu, sehari sebelum bermulanya perhimpunan agung Umno, Abdullah telah mengumumkan peruntukan tambahan RM600 juta, diluluskan untuk pembangunan luar bandar.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu adalah tambahan kepada RM1.5 bilion yang disalurkan di bawah RMK9 bagi pembangunan luar bandar, yang menurutnya telahpun habis dibelanjakan.

Sarawak dikecualikan

Para pemimpin kerajaan kemudian berkata, peruntukan tersebut adalah untuk kontraktor kelas F manakala surat rasmi mengenainya, mendedahkan wang tersebut hanya akan dibelanjakan di Semenanjung dan Sabah.

Surat itu juga menyatakan wang tersebut mesti dibelanjakan sebelum akhir tahun kira-kira enam minggu dari tempoh pengumuman itu dibuat.

Ini bermakna kira-kira RM3 juta akan disalurkan kepada 191 kawasan Parlimen, kecuali di Sarawak.

Pemimpin DAP, Ronnie Liu, dalam laporannya pada 27 November lalu, mendakwa wang rakyat itu digunakan untuk membiayai projek menerusi ketua Umno bahagian.

Beliau juga mendakwa, keputusan untuk memberi peruntukan itu yang tidak diluluskan sama ada Parlimen dan kabinet dibuat oleh pihak parti dengan tujuan untuk meningkatkan sokongan kepada kepimpinan Umno.

Menurut Liu lagi, 191 kawasan Parlimen yang menerima peruntukan tersebut juga bertepatan dengan jumlah bahagian Umno di Semenanjung dan Sabah. Sarawak tidak menerima peruntukan tersebut.

Majoriti ketua Umno bahagian merupakan pemegang lesen kontraktor kelas F yang diperuntukkan kepada kaum bumiputera. Berita asal