Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam sedia buktikan dakwaan rogol dikaitkan dengan ahli Bersatu di mahkamah

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi sedia membuktikan dakwaan rogol yang dibuat anak guamnya melibatkan dua anggota Bersatu, serta dakwaan kurangnya tindakan polis berkenaan perkara itu.

Asheeq membangkitkan pembelaan justifikasi dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham.

Berhubung dengan undang-undang mengenai saman fitnah, justifikasi adalah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan yang dibuat adalah adalah benar, dan jika dibuktikan di mahkamah, ia akan bertindak sebagai pembelaan mutlak terhadap tindakan undang-undang.

Hilman yang merupakan anggota Bersatu memfailkan saman fitnah terhadap Asheeq dengan mendakwa peguam itu membuat kenyataan berbaur fitnah apabila mengaitkan dirinya dengan kes rogol berkenaan dalam sidang media pada 11 Ogos 2021.

Dalam sidang media itu, Asheeq turut mendakwa polis tidak memberikan maklum balas atas laporan yang dibuat anak guamnya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa wanita itu menyerahkan bukti berhubung kejadian berkenaan kepada polis.

Dalam pernyataan pembelaan Asheeq yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Jan dan dilihat oleh Malaysiakini, peguam itu berhujah bahawa kenyataan yang dibuatnya semasa sidang media adalah "benar kandungan dan fakta".

Defendan berkata sidang media itu diadakan atas kapasitinya sebagai peguam bela dan peguam cara bagi individu yang didakwa menjadi mangsa rogol, yang membuat laporan polis mengenai perkara itu pada hari lahirnya, iaitu pada 5 Dis 2020.

“Sehingga tarikh sidang media tersebut dibuat, iaitu selama lapan bulan dari tarikh laporan polis pertama, tidak ada sebarang pertuduhan yang dibuat di mahkamah,” kata Asheeq.

Peguam itu menegaskan bahawa individu yang didakwa melakukan kesalahan itu hanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 September 2021. (Saman fitnah pula dibuat berhubung sidang media yang diadakan sebelum itu, iaitu pada 11 Ogos 2021)

“Defendan akan membuktikan satu persatu (dakwaan) fakta yang diplidkan (dalam pernyataan pembelaan) di atas semasa perbicaraan (saman fitnah Hilman) kelak,” kata Asheeq lagi.

Sementara itu, Asheeq berkata dia mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang dan moral untuk membangkitkan dakwaan itu.

Dia mendakwa, dakwaan itu adalah berkaitan dengan kepentingan awam memandangkan individu yang didakwa sebagai pelaku bukan saja ahli parti pemerintah, tetapi juga dikatakan rakan kepada Hilman.

Pemeriksaan senarai kausa dalam talian menunjukkan pengurusan kes untuk saman itu akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Februari ini.

Pada 12 Disember lalu, peguam Hilman daripada firma Hafiz Ruzaini & Co memfailkan saman sivil tersebut.

Menerusi pernyataan tuntutan, Hilman mendakwa Asheeq membuat kenyataan fitnah ketika sidang media yang dibuat di depan ibu pejabat polis Bukit Aman pada 11 Ogos tahun lalu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS