PRN Johor: Muhyiddin mungkin tak pertahan DUN Gambir
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyuarakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Gabmbir dalam PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
Bagaimanapaun, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata perkara itu terserah kepada pimpinan Bersatu.
Muhyiddin berkata dia mahu memberi tumpuan kepada pentadbiran di peringkat pusat dan pengurusan parti.
“Saya mungkin tidak akan bertanding, tetapi terserah kepada pimpinan di atas sebab mahu menumpukan sepenuh masa pada soal yang lebih utama iaitu di peringkat Parlimen atau pusat dan menguruskan parti serta menyampaikan mesej perjuangan kita (PN) dan sebagainya.
“Jadi saya hendak beri peluang kepada ramai lagi tokoh-tokoh di Johor terutama untuk kerusi itu dan saya serah kepada mereka nantilah siapa yang hendak mengisi, itu kita akan putuskan kemudian,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Dia berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Johor hari ini.
DUN Johor dibubarkan pada 22 Jan lalu bagi membuka jalan kepada pelaksanaan PRN.
Kerajaan negeri sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan Bersatu sedia untuk menampilkan calon-calon muda dalam PRN kali ini yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.
“Ya, memang kita hendak beri peluang, memang saya faham bahawa sekarang ini adalah masa anak-anak muda, tetapi gabungan muda, lama dan matang agak wajar, tidak ada satu parti akan letak semua orang muda dan ketepikan orang lama.
“Tetapi itu belum muktamad, di peringkat awal, nanti bila senarai calon itu dikemukakan baik oleh Srikandi, Armada, anak muda dan parti-parti gabungan, saya rasa kita perlu beri perhatian kepada perkara itu, insya-Allah,” tambahnya.

