Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan Mokhtar sempitkan ruang kerjasama Umno-PAS
Diterbitkan:  Jan 27, 2022 9:06 AM
Dikemaskini: 1:06 AM

Umno tidak boleh dipersalahkan jika ruang kerjasama di antara parti itu dengan PAS semakin sempit dengan adanya serangan yang dihalakan kepada mereka.

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan, berkata kenyataan seperti dibuat pemimpin PAS, Mokhtar Senik, semalam misalnya tidak dialu-alukan.

Bahkan katanya kenyataan ulama PAS terbabit pasti menyinggung setiap hati ahli Umno.

"Tuduhan demi tuduhan dilemparkan terhadap Umno. Umno rakus, Umno perlu dirawat dengan kekalahan. Umno perlu sedar ia tidak ada pilihan melainkan bersama dengan PAS dan Bersatu. Umno tak boleh dapat kerusi sehingga boleh memimpin sendiri tanpa PAS dan Bersatu. Pelbagai lagi tuduhan, tohmahan dan 'tunjuk ajar'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Shahril jika PAS mahu memberikan pandangan sepatutnya ia disampaikan secara berhemah, bukannya mengajar mereka mengenai apa yang boleh dan tikdak boleh dilakukan.

Umno juga katanya membuat keputusan sendiri selepas pelbagai pandangan dicermati.

Majlis Kerja Tertinggi Umno, tambah Shahril, mengambil kira pandangan kalangan pemimpin parti dan sama sekali tidak akan tunduk kepada tekanan parti lain.

Tak pandang remeh parti lain

Dia juga menolak pandangan Mokhtar semalam mengenai perlunya Umno dipastikan tidak memiliki kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan tanpa bantuan parti lain.

"Maka bolehkah Mokhtar juga meminta PAS Terengganu dan Kelantan tidak bertanding sejumlah kerusi supaya sebelum masuk gelenggang pun sudah pasti tidak boleh menang majoriti dengan sendiri? Sudah tentu tidak," katanya.

Menurut pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri itu lagi, Umno tahu PAS memiliki cita-cita sendiri dan Umno tidak pernah menghalang atau memperlekehkannya kerana itu menjadi hak mereka.

Justeru katanya Umno sentiasa bekerja kuat dan tak memandang remeh kemampuan parti lain.

"Jadi amat tidak manis rasanya untuk orang Umno apabila Mokhtar pula memperlekeh kemampuan parti kami," katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri Dalam Johor, Shahril memberitahu, kepimpinan tertinggi Umno di negeri dan pusat sudah memaklumkan bahawa keputusan muktamad mengenainya akan ditentukan selepas ia dikaji dengan mendalam.

"Namun, jangan salahkan Umno jika kenyataan seperti Mokhtar itu menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan," katanya.

Lihat Komen
ADS