Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ditawarkan 4 kerusi: PAS bukan minta sedekah, kata Hadi
Diterbitkan:  Jan 28, 2022 12:34 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

PAS tidak dapat menerima tawaran empat kerusi daripada BN untuk mereka bertanding dalam pilihan raya negeri Johor.

“Melaka nak beri dua kerusi. Johor nak beri empat...

“Takkan kita minta sedekah kerusi-kerusi ini? PAS bukan minta sedekah. 

"PAS ada kekuatan sendiri,” kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang, menjawab soalan pemberita.

Dalam video bercakap kepada media yang dimuat naik di media sosialnya sebentar tadi, Hadi juga berkata soal kerusi belum ditentukan.

Rundingan juga, katanya, belum dibuat.

Sebelum ini tular satu klip video menunjukkan Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad mendedahkan Umno Johor menawarkan empat daripada 56 “kerusi boleh menang” kepada PAS.

Hasni Mohammad 

Bagaimanapun, katanya, PAS tidak bersetuju dengan lebih berminat dengan tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata tawaran itu "bukan cara yang baik" untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua parti.

Selar Kluster Mahkamah

Sementara itu, Hadi turut menyelar tindakan Umno, khususnya ‘Kluster Mahkamah’, yang menurutnya merencanakan pilihan raya di negeri-negeri untuk kembali berkuasa.

“Kalau kita ada moral, lawan saja di mahkamah. Jangan susahkan rakyat. Ini nak susahkan rakyat dengan pilihan raya. Nak selamatkan diri dia susahkan rakyat,” katanya.

Sidang media Presiden Umno Zahid Hamidi di mahkamah, gambar hiasan.

Hadi justeru menegaskan supaya strategi pilihan raya negeri tidak diteruskan di negeri-negeri lain kerana “ada batas dan sempadannya”.

“Tapi kita tak mahu nak main-main kerana kita nak menyatukan umat. 

"Tetapi kalau Umno nak ambil strategi panjang-panjang, kita ada strategi juga.

“Bila tiba masanya kita akan buat strategi ini,” kata anggota parlimen Marang.

Hadi juga menegaskan “kekuatan” PAS dengan 197 kawasan daripada 220 kawasan parlimen di seluruh Malaysia.

Muktamar PAS 2021, gambar hiasan

Katanya lagi, PAS juga mempunyai sejuta anggota dengan 800,000 daripada aktif bergiat.

"Banjir di Pahang, banjir di selangor, banjir di Johor. Jentera-jentera PAS turun.

"Orang lihat. Ada yang bina rumah yang rosak satu malam saja siap rumah," katanya.

Lihat Komen
ADS