Najib minta akhbar jangan perbesarkan isu kenaikan tol
Ketua Pengarang semua akhbar-akhbar tempatan dan stesyen televisyen telah diarahkan jangan membesar-besarkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya tahun depan.
Ketua Pengarang semua akhbar-akhbar tempatan dan stesyen televisyen telah diarahkan jangan membesar-besarkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya tahun depan.
Arahan itu diberikan dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan para Ketua Pengarang akhbar di bangunan Parlimen semalam.
Pertemuan pada pukul 3.45 petang itu turut dihadiri oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi dan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.
Kabinet akan membincangkan dan memutuskan kadar tol baru itu dalam mesyuarat mingguan hari ini sebelum satu pengumuman rasmi dibuat.
Sementara itu seorang pegawai Kementerian Kerjaraya mengesahkan satu sidang akhbar berhubung kadar tol baru ini akan diadakan petang esok.
"Kerajaan bimbang isu ini akan menimbulkan satu lagi bantahan umum," kata satu sumber kepada malaysiakini.
Menurut sumber berkenaan, kadar baru tol di sepanjang lima lebuhraya itu dijangka naik kira-kira 10 peratus. Kenaikan paling tinggi dijangka di Damansara-Puchong Highway (LDP), sebanyak 50 peratus.
Lebuhraya lain yang terbabit dalam kenaikan ini ialah Guthrie Corridor Expressway, Lebuhraya Kesas-Shah Alam, Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Grand Saga Cheras-Kajang.
Kadar baru tol ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari depan.
Sebelum ini pengguna negara ini telah dibebani dengan kenaikan petrol ekoran tindakan mengurangkan subsidi bahan api itu dan tarif eletrik beberapa bulan lalu.
Kenaikan harga petrol ini telah mendapat bantahan rakyat dan kesannya dapat dilihat dalam pilihanraya umum negeri Sarawak pada Mei lalu di mana Barisan Nasional kehilangan lapan kerusi dan beberapa demonstrasi diadakan di Kuala Lumpur.
Arahan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu dilihat oleh para pemerhati sebagai lanjutan dari kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu yang meminta organisasi medaai jangan memainkan isu sensitif.

