Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM siasat Maszlee, sumber kata berkaitan dakwaan rasuah
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 8:46 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik selepas menerima dua laporan terhadapnya.

Agensi antirasuah itu bagaimanapun tidak mendedahkan sebab siasatan dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media.

Bagaimanapun, sumber memaklumkan Malaysiakini bahawa siasatan berkenaan adalah berhubung dakwaan rasuah membabitkan Maszlee semasa dia menjadi menteri pendidikan dari 2018 hingga awal 2020.

Maszlee didakwa menerima wang daripada pembekal kementerian berkenaan yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti politik.

Dia juga didakwa menerima sebuah kereta jenis Toyota Vellfire daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan.

Malaysiakini telah menghubungi Maszlee untuk mendapatkan komen.

Semalam Maszlee mendakwa pegawai SPRM menggunakan taktik ugutan terhadap kakitangannya, dipercayai berkaitan pembabitannya dalam demonstrasi menuntut ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ditahan.

SPRM dalam kenyataannya hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa pegawai suruhanjaya itu melakukan intimidasi sebagaimana yang didakwa Maszlee.

Suruhanjaya itu menegaskan setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

"SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari manamana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat," katanya.

Maszlee sebelum ini disoal siasat oleh polis berhubung penglibatannya dalam demonstrasi anjuran Pemuda PKR dan Muda yang berlangsung di luar bangunan parlimen pada 20 Jan lalu.

Azam mula mendapat perhatian berhubung pemilikan hampir dua juta saham dalam syarikat senaraian awam antara tahun 2015 dan 2016.

Pemilikan saham itu menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.

Azam bagaimanapun menafikan melakukan sebarang salah laku.

Siasatan terhadap Maszlee kebetulan berlaku ketika PKR dikhabar mahu meletakkan bekas menteri pendidikan itu sebagai calon pada pilihan raya negeri Johor.

Spekulasi bertiup kencang bahawa PKR mahu menamakan Maszlee sebagai calon menteri besar, walaupun ahli parlimen Simpang Renggam itu menepis khabar angin berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS