K'jaan perlu jelaskan kontroversi projek kapal tempur RM9b - Nik Nazmi
Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung kontroversi Kapal Tempur Pesisir (LCS) selepas beberapa individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.
Menurutnya, rakyat inginkan pihak yang bertanggungjawab atas pelbagai dakwaan salah laku berkaitan kes itu didakwa di mahkamah dan menerima hukuman yang setimpal.
"Projek LCS bernilai RM9.128 bilion, pelaksanaan perolehan pertahanan terbesar untuk peralatan baru dalam sejarah Malaysia. Ia adalah salah satu daripada beberapa isu yang telah diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri semasa saya menjadi pengerusinya.
"Projek ini telah dicemari oleh beberapa kontroversi, termasuk kegagalan untuk menghantar kapal seperti yang dijadualkan dengan kos berlebihan, bayaran yang dipertikaikan dan persoalan tentang bagaimana ia diberikan.
"Ia membuatkan kita semua berfikir, bagaimana projek sebesar ini diberikan dan diuruskan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada 25 Jan lalu, seorang broker ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan kontrak perolehan enam buah LCS.
SPRM sebelum itu menahan dua ketua pegawai eksekutif syarikat susulan penemuan petunjuk baru dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam kapal LCS oleh Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Pada 21 Nov lepas, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid membuat laporan kepada SPRM berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.
Projek itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal tersebut.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu dibenarkan meneruskan serta menyelesaikan tugas mereka dalam isu berkenaan.
"PH tidak gagal dalam menguruskan isu LCS kerana jawatankuasa ini bekerja dengan baik dan bergerak dengan pantas sehinggalah berlaku pertukaran kerajaan, ia menghalang proses itu.
"Penahanan yang berlaku tidak boleh dianggap sebagai 'tutup kes' atau 'misi tercapai', kerana belum ada yang didakwa dan kerajaan semasa masih belum menggariskan secara terbuka dan komprehensif bagaimana mereka berhasrat untuk memastikan LCS akhirnya disiapkan atau masalah seperti ini tidak akan berulang," kata Nik Nazmi.

